Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Bendera terbalik: Sabotaj atau tidak biar polis siasat

SUKAN SEA |  Polis akan menyiasat secara mendalam untuk melihat sama ada wujud unsur sabotaj pada proses penghasilan buku panduan rasmi Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) yang sedang berlangsung sekarang.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya sudah menerima laporan berhubung perkara itu.

"Ya (polis telah terima laporan). Kami akan siasat untuk melihat sama ada terdapat unsur sabotaj atau tidak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pelancaran Modul Peningkatan Integriti My Psikologi Spiritual (MyPS) 2017, di Bukit Aman, hari ini.

Pada Sabtu lalu majlis perasmian KL2017 yang gilang-gemilang tercalar apabila didapati bendera Indonesia dipaparkan secara terbalik dalam buku panduan.

Insiden itu segera menarik perhatian Menteri Belia dan Sukan Indonesia Imam Nahrawi. Rasa tidak puas hati itu kemudian dinyatakan secara terbuka melalui Twitter.

Bagaimanapun Menteri Belia dan Sukan Malaysia Khairy Jamaluddin Abu Bakar segera meminta maaf dan beliau turut bertemu Imam semalam.

Presiden Indonesia Joko Widodo pula menasihati supaya isu berkenaan tidak diperbesarkan.

Khalid berkata orang ramai perlu memberi masa kepada polis untuk menyiasat kes berkenaan.

"Biarkan kami jalankan siasatan dahulu sebelum tindakan seterusnya diambil," katanya

Sementara itu, Khalid turut mengulas tahap keselamatan sepanjang temasya KL2017 berlangsung.

Paling penting selamat

Menurutnya, setakat ini semuanya dalam keadaan terkawal dan tahap keselamatan sentiasa ditingkatkan dari semasa ke semasa.

Katanya, pada hari pembukaan KL2017, pihaknya telah menerima aduan daripada pengunjung bahawa mereka terpaksa berbaris panjang untuk masuk ke stadium.

"Itu kita tidak boleh kompromi kerana membabitkan isu keselamatan. Kalau terpaksa berbaris, kita tidak boleh buat apa kerana yang paling penting, semuanya selamat. Setakat ini semuanya selamat dan berjalan lancar," katanya.

Khalid ketika diminta mengulas mengenai kumpulan ateis pula berkata, polis akan berkerjasama dengan jabatan agama Islam negeri bagi memantau aktiviti kumpulan terbabit.

“Siasatan itu tidak dilakukan oleh polis tetapi jabatan agama Islam yang mengkhususkan kepada orang Islam yang menyertai acara itu.

“Saya dah cakap, saya dah bagi amaran supaya menjauhi ateis, polis pila membantu jabatan agama untuk memantau aktiviti ini agar tidak berleluasa,” katanya.

Rabu lalu Khalid memberi amaran kepada golongan ateis supaya tidak menimbulkan keresahan di kalangan orang Islam.

Ateis merujuk kepada orang yang tidak percaya pada tuhan.

Khalid turut berkata perlembagaan negara ini mengiktiraf Islam sebagai agama persekutuan, manakala ateis tidak disebut dalam perlembagaan.

Katanya, perkara itu menyebabkan pihaknya akan mengkaji peruntukan yang ada bagi mengambil tindakan sewajarnya sekiranya golongan tersebut menimbulkan keresahan di kalangan umat Islam.

Lihat Komen
ADS