Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Pemandu bas buat onar dipenjara 4 hari
Diterbitkan:  Aug 21, 2017 4:35 PM
Dikemaskini: 11:12 AM

SUKAN SEA | Seorang pemandu bas yang bertugas semasa temasya Sukan SEA 2017 dihukum penjara selama empat hari oleh Mahkamah Majistret Shah Alam, hari ini.

Majistret Siti Shakirah Mohtaruddin dilapor menjatuhi hukuman tersebut terhadap Muhammad Izwan Ayub selepas lelaki itu mengaku bersalah mencuri seutas jam tangan milik pegawai pasukan bola sepak wanita Malaysia.

Muhammad Izwan, 27, diperintah menjalani hukuman penjara tersebut bermula tarikh tangkap iaitu 17 Ogos lalu.

Selain itu, dia turut didenda RM2,000 dan penjara tiga bulan tambahan sekiranya gagal menjelaskan bayaran berkenaan, lapor Sinar Online.

Muhammad Izwan yang turut bertugas untuk mengendalikan bas pasukan bola sepak wanita Myanmar itu mengaku mencuri jam jenama Swatch edisi Rio 2016 milik Norzazarina Omar.

Jam bernilai RM600 itu dicuri di Jalan UiTM, Stadium UiTM Shah Alam.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muaz Ahmad Khairuddin mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Ikrimah Mohd Raya.

Terdahulu, suspek yang ditahan kira-kira jam 10 malam pada hari kejadian turut didapati tidak mempunyai lesen memandu.

Lihat Komen
ADS