Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images

SUKAN SEA | Tyler Lamb dari Thailand menyekat kemaraan skuad bola keranjang Malaysia untuk menebus kekalahahan pasukannya semalam kepada Filipina dan menjaringkan 36 mata bagi mengalahkan tuan rumah.

Skuad bola keranjang lelaki Malaysia terpaksa akur kepada Thailand dalam perlawanan kedua kumpulan A dengan 15 mata, 90-75.

Thailand semalam tewas kepada Filipina dengan 74-81 manakala Malaysia pula mengatasi Myanmar dengan 95-42.

Dalam perlawanan hari ini ini, Perry Lim mendahului pungutan jaringan Malaysia dengan 17 mata dan Ting Chun Hong pula menjaringkan 14 mata.

29 turnover, ranapkan peluang Malaysia

Bagaimanapun kesilapan demi kesilapan dilakukan skuad negara dengan 29 turnover antara salah satu sebab utama kekalahan Malaysia.

Berbeza dengan prestasi semalam, pasukan lawan tampil dengan jaringan tiga mata sebanyak 17 kali, kebanyakannya dari Tyler Lamb yang menyumbangkan 7 jaringan tiga mata.

Suku pertama menyaksikan dominasi daripada pasukan Malaysia, terutamanya dengan jaringan awal daripada Ting Chun Hong dengan memungut tiga mata dan langsung tidak memberikan sebarang peluang kepada Thailand untuk mendapat jaringan.

Thailand hanya mampu mendapat mata awal daripada jaringan penalti tetapi mula menunjukkan taringnya pada pertengahan suku pertama daripada Tyler Lamb. Sedikit demi sedikit, pemain Malaysia jarakkan kedudukan dalam suku pertama dengan jaringan tiga mata daripada Ivan Yeo dan Kuek Tian Yuan.

Malaysia mendahului Thailand sebanyak 8 mata dalam suku pertama, 20-12.

Thailand mula menyesuaikan strategi mereka meskipun masih tidak dapat mengatasi Malaysia, dengan beberapa jaringan daripada Canachon Klahan, Chitchai Ananti dan Darunpong Apiromvillaichai hampir menyamakan mata dengan Malaysia.

Sukar cari penguasaan

Pasukan negara sukar mendapat mata dalam suku kedua ditambah dengan jaringan bertubi-tubi daripada Thailand, khususnya Tyler Lamb yang mendapat 11 mata manakala Chitchai Ananti juga menjaringkan 9 mata.

Thailand mengakhiri separuh masa pertama dengan pungutan mata sebanyak 36 mata dan Malaysia pula hanya sekadar mendapat 15 mata.

Thailand kemudian mendahului Malaysia sebanyak 12 mata, 38-50.

Malaysia cuba memperbaiki prestasi mereka yang agak hambar dalam suku kedua tetapi cepat diatasi oleh Thailand.

Skuad negara sukar mencari penguasaan dan mengakhiri suku ketiga dengan ketinggalan 15 mata, 52-67. Dalam tiga suku awal, Malaysia kerap melakukan kesilapan dan mendapat 21 turnover.

Dalam suku keempat pula, Malaysia masih tercari-cari kedudukan mereka dalam perlawanan dan mendapat beberapa jaringan awal hasil daripada jaringan Perry Lim dan Wong Yi Hou.

Malaysia cuba mendekati pungutan mata sehinggalah perbezaan 9 mata, namun jaringan tiga mata daripada Tyler Lamb dan Darunpong Apiromvillaichai mematahkan semangat skuad negara pada minit akhir.

Yakin meskipun 'underdog'

Penolong ketua jurulatih Christopher Thomas akur bahawa banyak kesilapan turnover menyukarkan peluang Malaysia menandingi Thailand.

Beliau percaya kelemahan ini boleh dijadikan panduan untuk menandingi Filipina di hadapan penyong pada Rabu nanti.

"Sokongan penonton di Malaysia sangat memberangsangkan, terutamanya semua tempat duduk dipenuhi dengan penyokong sendiri.

" Ini adalah perlawanan yang penting untuk Malaysia dan dalam kumpulan ini, bukannya mudah dan kita telah lama bersedia," katanya.

Katanya meskipun Malaysia dianggap sebagai pasukan 'underdog', beliau percaya pasukan negara masih boleh mengatasi Filipina.

"Pemain negara telah menunjukkan aksi pada tahap yang lebih tinggi berbanding dulu," tambah beliau.

Malaysia akan bertemu pasukan Filipina pada 23 Ogos (Rabu), 6 petang.

Dalam situasi apabila Malaysia memenangi perlawanan dengan Filipina dan terikat dengan Thailand, perbezaan mata akan digunapakai.

Malaysia perlu mengalahkan Filipina sebanyak 12 mata dalam perlawanan Rabu ini supaya layak ke pusingan separuh akhir pada 24 Ogos.

Lihat Komen
ADS