Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Malaysia di landasan juara keseluruhan
Diterbitkan:  Aug 24, 2017 2:27 PM
Dikemaskini: 6:29 AM

Malaysia di atas landasan untuk muncul sebagai juara keseluruhan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) dengan hampir 50 peratus daripada sasaran 111 pingat emas sudah diperoleh, kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Dalam sidang media selepas penyampaian pingat bagi acara lompat kijang, Khairy berkata KL2017 telah menyaksikan persembahan hebat terutamanya daripada atlet generasi akan datang.

“Kami sedang di landasan untuk mencapai 111 pingat. Semangat kontinjen negara adalah mengagumkan dan sokongan daripada peminat adalah hebat.

"Bagaimanapun, sukan ini bukan segalanya mengenai pingat emas. Ia adalah mengenai potensi dan masa hadapan sukan, “ katanya menambah tumpuan perlu diberikan kepada atlet muda yang berpotensi.

Khairy juga mengucapkan tahniah kepada pemenang pingat emas lompat kijang, Muhammad Hakimi Ismail, Welson Sim yang meraih emas dalam 200m lelaki gaya bebas dan Saidatul Husniah Zulkifli yang mendapat perak dalam 200m wanita.

“Ia merupakan kejayaan manis buat Haklmi kerana beliau baharu sahaja pulih daripada kecederaan. Saidatul pula , saya percaya beliau mempunyai potensi besar kerana perjalanan masih jauh untuknya. Tahniah,” kata Khairy.

Hakimi mencatat rekod baharu Sukan SEA dan rekod kebangsaan dengan lompatan 16.77m memecahkan rekod peribadinya, 16.76m di Sukan SEA Singapura 2015 sementara Welson mencipta rekod baharu Sukan SEA dalam acara 200m lelaki gaya bebas dengan masa 1:47.79s.

Memetik bintang renang Singapura, Joseph Schooling sebagai contoh, Khairy berkata perenang itu hanya muncul di arena antarabangsa tidak lama dahulu dan menggondol pingat emas dalam Olimpik Rio menewaskan perenang legenda, Michael Phelps.

“Welson mempunyai masa hadapan yang cerah. Perjalanan beliau masih jauh. Begitu juga dengan atlet muda kami seperti Khairul Hafiz Jantan yang baharu berusia 19 tahun,” katanya.

Khairul Hafiz yang digelar Speedy Jantan menyertai acara final 200m malam ini tetapi gagal memperoleh pingat emas dan hanya mendapat tempat keempat di belakang rakan sepasukan G. Aravin Thevar.

-Bernama

Lihat Komen
ADS