Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Gagal bayar denda, pemandu bas Sukan SEA ke penjara
Diterbitkan:  Aug 24, 2017 7:04 PM
Dikemaskini: 11:06 AM

Seorang pemandu bas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) yang menghadapi 19 pertuduhan membabitkan pelbagai kesalahan trafik, terpaksa merengkok di dalam penjara selepas dia gagal membayar denda RM20,400 yang diputuskan oleh Mahkamah Majistret, di Kuala Lumpur.

Majistret P Sarulatha mengenakan denda itu selepas tertuduh, R Krishnan, 34, yang merupakan pemandu bas bagi kontinjen hoki negara, mengaku bersalah terhadap kesemua pertuduhan.

Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu dipenjara 182 hari sekiranya dia gagal membayar denda.

Krishnan gagal membayar denda dan dihantar ke Penjara Kajang.

Pemandu bas itu menghadapi 19 pertuduhan membabitkan lapan kesalahan tiada lesen memandu, tiga kesalahan memandu tanpa lesen vokasional (GDL), empat kesalahan tidak mempamerkan lesen kenderaan motor dan empat kesalahan lesen tamat tempoh, yang dilakukan di sekitar Shah Alam antara 2005 hingga 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 20, Seksyen 26 (1) dan Seksyen 56 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM200 hingga RM2,000, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Krishnan yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan atas alasan dia merupakan penanggung tunggal keluarga.

Timbalan Pendakwa Raya Nurulhuda Ramli yang mengendalikan pendakwaan bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat supaya tidak melakukan kesalahan sama.

"Tertuduh merupakan pemandu bas bagi KL2017 dan memiliki lesen palsu. Pemandu seperti ini boleh memberi impak negatif kepada negara, pengguna jalan raya dan diri sendiri," katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS