Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Hoki ais: Si juara Filipina tamatkan aksi tanpa kalah
Diterbitkan:  Aug 25, 2017 11:36 AM
Dikemaskini: 3:47 AM

Filipina mencipta sejarah apabila menjadi pasukan pertama memenangi pingat emas acara hoki ais yang julung kali dipertandingkan dalam sejarah penganjuran Sukan SEA pada edisi ke-29 di Kuala Lumpur tahun ini.

Filipina muncul juara selepas menewaskan Thailand 5-4 dalam perlawanan terakhir mereka malam tadi, menamatkan aksi di Sukan SEA tanpa tewas, sekali gus berada di puncak liga dengan 11 mata, dalam pertandingan yang menggunakan format 'round robin'.

Thailand yang merupakan antara pasukan pilihan pula sekadar berpuas hati di tangga kedua dengan 9 mata sekali gus meraih pingat perak.

Terdahulu, perlawanan antara kedua-dua pasukan yang sepatutnya dijadual berlangsung jam 4 petang terpaksa ditangguhkan disebabkan beberapa isu teknikal dengan wisel permainan hanya ditiup pada pukul 6.45 petang sekali gus memaksa perlawanan terakhir melibatkan skuad negara menentang Singapura bermula lewat pada pukul 10 malam.

Biarpun bermula lewat, Malaysia mempamerkan aksi bertenaga dan membenam Singapura 8-2 untuk mendapat pingat gangsa.

Keputusan itu sekali gus mengesahkan kedudukan Malaysia sebagai pemenang pingat gangsa selepas menduduki tempat ketiga di dalam liga dengan keseluruhan tujuh mata manakala Singapura menamatkan saingan di tangga keempat dengan tiga mata.

Dalam permainan format 'round robin' hoki ais, tiga mata diraih untuk setiap kemenangan dalam masa sebenar permainan manakala dua mata diberikan untuk kemenangan yang diraih dalam masa tambahan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS