SUKAN SEA I Atlet triples lelaki boling padang hari ini menambah koleksi pingat emas negara selepas menewaskan Brunei 19-9 pada final acara itu di Pusat Boling Padang Nasional, Bukit Kiara di Kuala Lumpur.

Mohammad Syamil Syazwan Ramli, Mohd Amir Mohammed Yusof dan Mohamad Fairus Abd Jabal merupakan gandingan mantap yang menepati ramalan meraih emas.

Brunei pula dibarisi Ampuan Ahad Ampuan Kasim, Pg Hj Tengah Hj Tejudin dan Naim Ibrahim.

Kemahiran membaling bola menjadi faktor penyumbang emas kedua itu dengan aksi awal pusingan final memperlihatkan Malaysia menguasai permainan sehingga menyukarkan pasukan lawan untuk menyamakan kedudukan.

Cubaan menambah mata semakin ligat pada ends kelima dengan empat mata tambahan iaitu 9-2 dan terus mempamerkan aksi konsisten sehingga tamat perlawanan.

Mohd Amir Mohamed Yusof yang merupakan pemegang pingat emas pada Sukan SEA 2007 di Korat, Thailand dalam acara pairs menyifatkan kemenangan itu sebagai pencapaian peribadi yang terbaik bagi dirinya.

"Ini emas kedua bagi saya. Apa jua kejayaan kita peroleh, jangan selesa, jangan sesekali ambil mudah dengan pihak lawan," katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu.

Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menzahirkan rasa puas hati dengan momentum atlet negara dalam semua acara dan yakin negara mampu menjadi juara keseluruhan.

"Saya lihat secara keseluruhan, semua atlet sedang berusaha menambah pingat negara tak kira emas, perak atau gangsa.

"Bina dan kekalkan momentum positif, ia boleh bantu prestasi kita untuk hampiri matlamat sebagai juara keseluruhan," katanya.

Malaysia sedang mendahului dengan pungutan 147 pingat iaitu 64 emas, 45 perak dan 38 gangsa.

Dalam pada itu, Khairy mengingatkan penyokong agar menjaga adab dan perlakuan ketika menyaksikan mana-mana perlawanan demi menjaga nama naik negara.

Katanya, provokasi perlu dielak sama sekali sebaliknya penyokong perlu memberikan sokongan padu kepada atlet sebagai penyuntik semangat kepada mereka untuk terus berjuang memenangi acara masing-masing.

"Saya tidak mahu lihat pertelingkahan atau sebarang bentuk sokongan tidak sopan sepanjang berlangsungnya Sukan SEA ini. Tanpa anda siapalah atlet kita kerana sokongan anda amat diperlukan," katanya.

-Bernama