SUKAN SEA | Kemenangan menundukkan Vietnam 93-64 seakan menjadi sedikit pengubat duka pasukan bola keranjang lelaki kebangsaan yang gagal dalam misi memburu tempat di separuh akhir.

Dengan dua pemain utama - Wong Yi Hou dan Ivan Yeo - terpaksa direhatkan atas nasihat doktor kerana keracunan makanan, skuad Malaysia terpaksa turut berdepan Vietnam dengan hanya enam pemain yang masih benar-benar bersedia.

Empat lagi pemain - Chan Kek Thai, Teo Kok Hou, Kuek Tian Yuan dan Wong Chin Yong - pula beransur pulih.

Malaysia mendahului dalam semua suku dan pada yang sama, Vietnam berusaha mengurangkan defisit mata pada awal perlawanan.

Perry Lim mencuri tumpuan lagi dalam perlawanan sebentar tadi dengan beberapa siri dunk yang mempesonakan penonton di Stadium MABA, Kuala Lumpur.

Lim juga mendahului pungutan mata dengan 24 mata, 18 rebound and 5 steal.

Pada saat-saat akhir sebelum wisel penamat dibunyikan, kapten pasukan Chee Li Wei memberikan aksi menarik dengan double-clutch jam.

Ketua jurulatih kebangsaan Goh Cheng Huat kelihatan agak kecewa tetapi akur dengan keputusan di tempat kelima.

"Kita perlu memberikan penghormatan kepada pasukan Vietnam kerana mereka menyertai temasya kali ini untuk memberi saingan kepada semua.

"Ada beberapa pemain kita yang masih sakit dan lemah akibat keracunan makanan. Mereka saya beri peluang bermain seketika dalam perlawanan ini.

"Secara keseluruhannya, kita kecewa gagal mencapai matlamat, tetapi saya tetap berterima kasih kepada peminat yang mengakui pemain kita sudah mencuba yang terbaik.

"Itu amat bermakna kepada kami semua. Kita kalah kepada pasukan yang lebih baik," kata Goh.

Untuk pusingan separuh akhir, empat slot itu diisi Filipina, Thailand, Singapura dan Indonesia.

Mereka akan berentap separuh untuk menentukan dua pasukan terbaik ke perlawanan penentuan pingat emas dan perak pada pukul 8.15 malam esok.