Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

SUKAN SEA I Juara bertahan Thailand mara ke final acara bola sepak lelaki Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Myanmar pada aksi separuh akhir di Stadium Selayang hari ini.

Ketua pasukan, Chenrop Samphaodi muncul wira Thailand apabila menanduk masuk gol kemenangan pada masa kecederaan babak kedua untuk mencerahkan peluang skuad kendalian Worrawoot Srimaka dalam mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada edisi 2015 di Singapura.

Sebaik permainan bermula, Thailand yang masih segar dengan kejayaan menundukkan Vietnam 3-0 pada aksi terakhir kumpulan B Khamis lepas, mempamerkan aksi mantap untuk menguasai perlawanan pada 20 minit pertama.

Thailand hampir membuka jaringan menerusi pemain tengah Phicha Au-Tra pada minit ke-13 tetapi percubaan kaki kanannya hanya sekadar terkena tiang.

Namun, Myanmar yang kali terakhir memenangi emas pada 1973 (pada waktu itu dikenali sebagai Burma) berjaya menemui rentak untuk mengimbangi perlawanan sehingga rehat.

Bersambung babak kedua, Thailand dan Myanmar bersilih ganti melancarkan asakan namun kekebalan benteng pertahanan kedua-dua pasukan menyaksikan kedudukan terikat tanpa jaringan sehingga minit ke-90.

Tambahan masa enam minit dimanfaatkan sepenuhnya pemain Thailand apabila menggandakan serangan ke atas kubu Myanmar sebelum Chenrop menanduk masuk jaringan kemenangan hasil hantaran rakan sepasukan untuk menewaskan penjaga gol Sanin Sat Naing.

Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan , Ketua Jurulatih Thailand Worawut Srimakha memuji persembahan anak buahnya dan berkata mereka bersedia berhadapan sama ada Malaysia atau Indonesia di final.

“Pada peringkat ini kami tidak gentar, kami boleh berhadapan Indonesia atau Malaysia di final. Kami akan berikan yang terbaik kerana kami mahu berikan kenangan manis untuk rakyat Thailand,” katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS