Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

SUKAN SEA | Atlet negara berjuang sehingga ke titisan darah terakhir demi memastikan gelaran juara keseluruhan temasya Sukan SEA edisi ke-29 milik Malaysia dengan pencapaian gemilang 145 emas.

Ia sekali gus menjadi hadiah istimewa sempena sambutan Hari Kebangsaan 2017, esok.

Buruan emas pada hari kemuncak penutupan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) hari ini menayaksikan atlet negara merangkul lima daripada tujuh pingat yang ditawarkan iaitu dua daripada acara terjun dan melabuhkan tirai dengan tiga emas daripada acara luncur ais.

Ini adalah kali kedua Malaysia mengungguli temasya Sukan SEA selepas merangkul 111 emas pada edisi 2001 juga di laman sendiri.

Meskipun menetapkan sasaran sama kali ini, atlet negara bangkit bersama dengan semangat juang yang tinggi dan di luar jangkaan untuk melepasi sasaran awal.

Melengkapkan persada carta pungutan pingat, Malaysia merangkul 145 emas, 92 perak and 86 gangsa, jauh meninggalkan pencabar terdekat, Thailand, dengan 72 emas.

Satu daripada pingat itu ialah bagi acara bola sepak. Pencapaian Thailand itu menunjukkan penuruan kilauan emas negara terbabit, daripada 95 yang dicatat pada 2015 di Singapura.

Vietnam pula menduduki tangga ketiga dengan 58 emas diikuti Singapura yang dipisahkan oleh hanya satu pingat emas.

Tempat kelimat pula Indonesia dengan 38 emas, Filipina (24), Myanmar (7), Kemboja (3) dan Laos dengan dua butir emas.

Cemerlang di acara luncur

Brunei membawa pulang lima perak dan lapan gangsa manakala peserta ke-11, Timor Leste memperoleh tiga gangsa.

Penerjun negara menutup saingan dengan menguasai acara 10m platform seirama lelaki dan wanita di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jali, sekali gus menepati ramalan menyapu bersih semua 13 pingat emas yang ditawarkan dalam acara itu.

Gandingan Leong Mun Yee-Traisy Vivien Tukiet tidak menghadapi masalah untuk mengekalkan emas dalam acara wanita manakala penerjun muda negara, Jellson Jabillin-Hanis Nazirul Jaya Surya, masing-masing berusia 16 tahun, merangkul kejuaraan kali pertama dalam acara lelaki.

Pingat emas acara lelaki itu dimenangi di Singapura oleh penerjun berpengalaman Ooi Tze Liang-Chew Yiwei, yang masih bersama skuad negara tetapi membuka peluang untuk penerjun muda membuktikan kemampuan mereka.

Dalam acara luncur ais pada hari terakhir, Anja Chong, yang menjuarai kategori 500m wanita sekali lagi menampilkan aksi menarik untuk meraih pingat emas kedua dalam acara 1,000m, manakala rakan senegara, Ashley Chin, menambah kutipan gangsa.

Kedua-dua peluncur wanita itu turut membantu Nor Marissa Ahmad Lokman dan See Wan Ni memenangi pingat emas acara luncur 3,000m berganti-ganti manakala peluncur lelaki negara turut memenangi emas dalam acara tersebut.

Julian Yee menghadiahkan emas pertama negara dalam sukan tersebut.

Dalam acara angkat berat, Mohamad Fazrul Azrie menutup gelanggang sukan itu dengan sebutir pingat perak dengan angkatan jumlah keseluruhan 323kg termasuk 182kg dalam kategori clean & jerk, yang turut memadam rekod kebangsaan miliknya 181kg yang dicipta Mei lepas.

Atlet Thailand, Pornchai Lobsi, merangkul emas dengan angkatan jumlah keseluruhan 337kg manakala badang Vietnam, Hoang Tan Tai membawa pulang gangsa dengan catatan 332kg.

Filipina akan menjadi tuan rumah bagi Sukan SEA ke-30 pada 2019.

- Bernama

Lihat Komen
ADS