Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Skuad bola B18 menang 4 perlawanan berturut-turut
Diterbitkan:  Sep 11, 2017 12:45 PM
Dikemaskini: 4:50 AM

Skuad bola sepak bawah 18 tahun (B-18) negara mara ke separuh akhir Kejohanan Bola Sepak B-18 Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) selepas menang empat perlawanan berturut-turut dalam pusingan awal Kumpulan A, di Yangon, Myanmar.

Kemenangan 2-0 ke atas Kemboja semalam menyaksikan anak-anak buah Bojan Hodak mengumpul 12 mata maksimum selepas memenangi tiga perlawanan dalam Kumpulan A sebelum ini.

Dalam perlawanan di Stadium Thuwunna, Malaysia hanya berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-22 menerusi Shafizi Iqmal Khirudin yang menolak masuk hantaran silang Saiful Iskandar Adha Saiful Azlan sebelum Syafiq Danial Romzi menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-52.

Menurut kapten pasukan negara, Muhammad Syaiful Alias kemenangan pada hari ini tidak semudah yang dijangka apabila pasukan lawan memberikan tentangan hebat dalam cuaca panas terik.

“Bagi kami, kami menanti perlawanan seterusnya (menentang Thailand) dan belum terfikir mengenai separuh akhir,” katanya di dalam laman sesawang AFF, www.aseanfootball.org.

Untuk rekod, Malaysia memulakan kempen kejohanan dengan menewaskan Laos 4-1 dalam perlawanan pembukaan pada Isnin lepas, mengalahkan Singapura 3-1 pada Rabu lalu dan menundukkan Timor Leste 3-0 dua hari kemudian.

Sementara itu, Timor Leste mencatatkan kemenangan sulung dalam kejohanan tahunan itu dengan menundukkan Laos 3-2 dalam perlawanan terdahulu, di venue yang sama.

- Bernama

Lihat Komen
ADS