Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Penyokong bola sepak Kelantan meletakkan keyakinan dan kepercayaan penuh kepada presiden baru Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Bibi Ramjani Ilias Khan untuk memulihkan prestasi skuad The Red Warriors (TRW).

Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan, Mahizi Mahmood berkata, pihaknya menyambut baik kehadiran barisan kepimpinan Kafa yang baru untuk menerajui persatuan itu.

"Kita sebagai penyokong menghormati keputusan pemilihan barisan kepimpinan baru Kafa.

"Tahniah diucapkan buat barisan kepimpinan baru Kafa yang diterajui oleh Bibi Ramjanj. Pemilihan kali ini dilihat agak seimbang," katanya kepada Malaysiakini di Kota Bharu, hari ini.

Semalam, Kafa mencipta sejarah tersendiri selepas mengangkat Bibi Ramjani sebagai presidennya pada Kongres Ke-63.

Tokoh usahawan tempatan itu menewaskan pencabarnya, bekas naib presiden Kafa, Datul Mohamad Nasir Hamzah dengan undian 32-16.

Mahizi berkata, harapan penyokong kini adalah untuk melihat presiden baru menangani masalah yang dihadapi Kafa dan TWR.

"Kita percaya Bibi mampu mengembalikan semula keyakinan penyokong berdasarkan manifesto yang dilancarkan baru-baru ini dan berdasarkan pengalaman sebagai usahawan yang berjaya," jelasnya.

Bagi penyokong setia TRW, Mohd Fadhli Abd Rahman, 32, berkata, apa yang penting kini adalah masa untuk penyokong berdiri teguh di belakang kepimpinan baru Kafa.

"Kita beri kepercayaan untuk Kafa buat kerja dan buktikan komitmen yang dijanji sebelum ini.

"Sebagai penyokong kita pastinya mahu yang terbaik dalam aspek pengurusan, pembangunan akar umbi dan kemajuan skuad utama, " katanya.

Lihat Komen
ADS