Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Pastikan ketiadaan Frost tidak dirasai, pesan Khairy

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin yakin Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mempunyai perancangan dan program terbaik dalam usaha memantapkan skuad badminton negara di samping meningkatkan kualiti kejurulatihan, walaupun tanpa Morten Frost yang melepaskan jawatan selaku Pengarah Teknikal BAM semalam.

Beliau berkata bekas pemain Denmark itu telah memainkan peranan penting sejak kembali menyertai kem badminton negara pada 2015, namun kehilangannya tidak boleh menjejaskan usaha BAM untuk melahirkan bakat baru dalam badminton khususnya pemain perseorangan.

"Saya telah pesan kepada Presiden BAM Datuk Seri Mohamad Norza (Zakaria), bahawa walaupun tidak ada khidmat Frost lagi sebagai pengarah teknikal, perlu ada satu usaha untuk membangunkan kualiti kejurulatihan.

"Jangan kerana tidak ada Frost, tidak ada perancangan dari segi kejurulatihan dan juga pembangunan bakat baru.

"Walaupun Frost telah mainkan peranan penting, saya percaya dan yakin BAM ada perancangan sendiri untuk pastikan kehilangan beliau tidak akan dirasai dan ada perancangan untuk memantapkan skuad badminton kita," katanya kepada pemberita ketika meninjau beberapa acara sukan di Sukan Para ASEAN di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) Kuala Lumpur, hari ini.

BAM membuat kejutan apabila mengumumkan peletakan jawatan pengarah teknikal badan induk itu selepas Mohamad Norza mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) di Akademi Badminton Malaysia di Bukit Kiara, semalam.

Menurut Mohamad Norza, jurulatih berusia 59 tahun itu menyerahkan surat peletakan jawatan pada 11 September lalu, dengan menyatakan alasan masalah peribadi.

Berikutan itu, mesyuarat C&T juga bersetuju bahawa di bawah satu struktur baharu, semua lima ketua jurulatih akan melapor terus kepada jawatankuasa itu.

Lima ketua jurulatih ketika ini adalah Misbun Sidek (perseorangan lelaki), Cheah Soon Kit (beregu lelaki), Tey Seu Bock (perseorangan wanita), Wong Pei Tty (beregu wanita) dan Chin Eei Hui (beregu campuran).

Selepas mencipta kejayaan pada 2016, Frost mengalami beberapa keputusan mengecewakan termasuk Kejohanan Dunia di Glasgow, Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur dan Piala Sudirman di Gold Coast, Australia, pada awal Mei lalu.

-Bernama

Lihat Komen
ADS