Pahang di tangga kedua lepas benam Sarawak

   

Percaturan Pahang untuk memperbaiki kedudukan dalam Liga Super menjadi apabila pasukan itu berjaya menewaskan Sarawak 3-0 malam tadi sekali gus meletakkan mereka di tangga kedua carta itu.

Penolong Ketua Jurulatihnya, Ahmad Shaharuddin Ahmad Rosdi berkata keputusan itu membuktikan kesemua pemain dalam skuad Tok Gajah mampu beraksi secara kompetitif termasuk pemain simpanan mereka.

"Pada perlawanan Liga Super malam ini kita banyak merehatkan pemain utama sebagai persediaan untuk turun menentang Perak bagi aksi suku akhir kedua Piala Malaysia pada Ahad ini.

"Saya berbangga kerana pemain simpanan kami berjaya membuktikan mereka juga mempamerkan persembahan yang baik setelah mencatat kemenangan 3-0 ke atas Sarawak.

"Antara yang harus diberi pujian ialah Mohammad Faisal Abdul Halim, dia telah menonjolkan bakatnya dan membuktikan dia berhak berada bersama kita," katanya pada sidang media selepas perlawanan itu.

Ahmad Shaharuddin berkata penyerang Pahang, M. Kogileswaran Raj turut menampilkan aksi cemerlang apabila meledakkan dua gol bagi memastikan tiga mata dalam genggaman Pahang.

"Saya berharap persembahan cemerlang Kogileswaran Raj dalam menjaringkan gol dapat diteruskan pada aksi akan datang. Untuk menentang Perak, kita enggan berasa selesa dengan keputusan lepas dan tidak boleh memberi laluan mudah kepada pihak lawan," katanya.

Sementara itu, Kogileswaran Raj berkata beliau berpuas hati kerana dapat membantu Pahang meraih kemenangan dan ia juga menjadi hadiah hari lahir ke-19 yang bermakna buat dirinya.

"Saya amat berterima kasih kepada jurulatih kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk diturunkan pada malam ini dan berharap prestasi ini dapat dikekalkan dan sasaran saya ialah untuk memastikan Pahang berjaya melangkah ke final Piala Malaysia musim ini," katanya.

-Bernama

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.