Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Jurulatih bola sepak Kelantan menyerahkan nasib pasukan dengan mengharapkan komitmen tinggi pemain dalam misi wajib menang dalam baki dua perlawanan musim ini, jika ingin terus kekal dalam saingan Liga Super 2018.

Mengulas situasi skuad The Red Warriors, Zahasmi Ismail berkata, beliau tidak mampu berjanji apa-apa melainkan menuntut usaha keras anak buahnya melakukan apa sahaja asalkan mencipta kemenangan berdepan PKNS FC di laman sendiri, esok.

“Saya tidak mahu janji apa-apa cuma saya harap pemain bermain lagu mana pun (beraksi macam mana pun) dalam perlawanan itu asalkan kita boleh kutip tiga mata.

"Kerana itu sahaja yang boleh dilakukan untuk kekal dalam Liga Super musim depan.

“Tekanan demi tekanan kita sudah lalui sepanjang musim ini, saya sebagai jurulatih hanya mahu pasukan menutup tirai musim ini dengan rekod kemenangan kerana kalau menang mungkin kita terselamat daripada jatuh ke Liga Perdana,” katanya ketika dihubungi di Kota Bharu, hari ini.

Malaysiakini semalam melaporkan, Kelantan mendapat semangat baru untuk tampil pada dua perlawanan terakhir selepas tunggakan gaji pemain diselesaikan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Bibi Ramjani Ilias Khan.

Zahasmi berkata, kini tiada alasan terutama bagi pemain import untuk tidak mempamerkan aksi yang bersungguh-sungguh dalam perlawanan itu nanti.

“Pemain perlu bagi 150 peratus kerana saya fikir moral pemain sudah baik selepas segala tunggakan gaji sudah dibayar Kafa.

“Saya berharap dengan gaji yang dibayar boleh memotivasikan pemain terutama pemain import kerana aksi mereka ketika berdepan JDT Sabtu lalu amat mengecewakan," jelasnya.

Kelantan kini menghuni tangga ke-10 Liga Super dengan kutipan 18 mata perlu berusaha menyelamatkan kedudukan itu daripada turun Liga Perdana musim depan.

Lihat Komen
ADS