Rekod silam dan nama besar tidak memadai untuk menjadi sauh buat Carlo Ancelotti bertahan lebih lama bersama Bayern Munich.

Tumpas 0-3 kepada kelab Perancis, Paris Saint-Gemain (PSG) menjadi pemutus nasib pengurus dari Itali yang berusia 58 tahun itu.

Bagi sesetengah pemerhati langkah Ancelotti ke Allianz Arena bukan langkah kanan.

Ancelotti memang nama yang dihormati dalam dunia bola sepak, cuma dia masuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Josep Pep Guardiola.

Guardiola pula mencipta imej yang digeruni sejak mengemudi Barcelona sebelum berhijrah ke Bundesliga.

Bermain di bawah Guardiola memang menjerihkan malah ada sesetengah pemain sendiri tidak menyenangi kaedah dibawa lelaki Sepanyol itu.

Namun di bawah Ancelotti yang lebih bertolak ansur, prestasi Bayern Munich pula jadi tidak menentu.

Malah ada pihak yang memberi pandangan lebih kejam. Bagi mereka Ancelotti tidak berjasa apa-apa pun.

Ia tentu tidak benar. Sebagai bukti lihat bagaimana PSG menderita selama beberapa musim selepas Ancelotti meninggalkan kelab itu pada 2013.

Di Camp des Loges Ancelotti mengajar pemain PSG makna persefahaman yang baik dan membawa kelab itu menjadi skuad elit.

Ancelotti juga orang yang bertanggungjawab meyakinkan Thiago Silva serta Zlatan Ibrahimovic untuk bermain bersama PSG.

Sehari sebelum Ancelotti bertandang ke Parc des Princes semalam, akhbar Perancis, L’Equipe, menyiarkan laporan mengenai lelaki itu dengan judul “Paris lui doit tellement” – Paris banyak terhutang budi padanya.

Terburuk sejak lebih dua dekad

Jika ada tuduhan mendakwa Ancelotti tidak cukup cermat dalam perkiraan strateginya. Sesiapa yang dekat dengannya akan tahu bahawa Ancelotti pernah mengarahkan budak pengutip bola untuk berlatih bersamanya semasa di PSG.

Tujuan Ancelotti ialah untuk mengisi masa terluang antara sesuatu sesi.

Cuma nuansa taktikal Ancelotti agak kurang. Ia tidak digemari pegawai Bayern Munich yang sebelum itu sudah terbiasa dengan aura Guardiola di sebalik kegagalannya membawa pulang piala Liga Juara-juara ke Jerman selama tiga tahun bersama kelab gergasi berkenaan.

Di mata peminat tempatan, kegagalan Guardiola membawa pulang piala elit itu masih boleh dimaafkan jika jasanya menghasilkan skuad yang benar-benar mantap diambil kira.

Kegagalan di stadium yang pernah menjadi 'kubangnya' bersama PSG kelmarin akhirnya mendorong Bayern Munich menjatuhkan hukuman. Mereka menunjukkan jalan keluar buat Ancelotti.

Keputusan itu diambil selapas ahli lembaga pengarah kelab berkenaan mengadakan mesyuarat ekoran kekalahan 0-3 kepada PSG.

Ketua Pegawai Eksekutif Bayern Munich, Karl-Heinz Rummenigge (gambar), berkata prestasi pasukan itu sejak awam musim ini tidak mencapai sasaran yang ditetapkan.

Rummenigge berkata kekalahan berkenaan adalah yang paling teruk dialami kelabnya di peringkat kumpulan sejak 21 tahun lalu.

"Apa yang kita saksikan ini bukanlah Bayern Munich," katanya.

Selepas berbincang dengan Pengarah Sukan Bayern Munich, Hasan Salihamidzic serta Ancelotti sendiri, mereka mencapai persetujuan. Khidmat Ancelotti ditamatkan.

"Saya kesal dengan apa yag berlaku namun menghargai apa yang disumbangkannya selama ini.

"Ancelotti adalah sahabat saya dan dia kekal sahabat saya. Kami terpaksa membuat keputusan profesional demi Bayen Munich," kata bekas bintang bola sepak Jerman itu.

Dengan pemecatan Ancelotti, nasib Bayern Munich kini terletak di tangan bekas pemain antarabangsa Perancis yang turut pernah bermain untuk kelab berkenaan, Willy Sagnol.

Sagnol ialah pembantu Ancelotti sebelum dia dipecat.

Di peringkat domesti, Bayern Munich kini berada di kedudukan ketiga dengan 13 mata hasil empat kemenangan dan satu seri. Mereka dipisahkan dua mata dengan pendahulu liga, Borussia Dortmund
dan satu mata dengan Hoffenheim yang menduduki tempat kedua.