Skuad wushu wanita tambah kutipan emas
Skuad wushu negara menambah satu lagi pingat emas untuk menamatkan kempen pada Kejohanan Dunia ke-14 di Kazan, Rusia, pada Selasa (Rabu di Malaysia).
Trio wanita – Phoon Eyin, Loh Ying Ting dan Tan Cheong Min – menghadiahkan emas kedua negara dalam acara Duilian (duet) selepas mengutip 9.46 mata, menurut laman sesawang rasmi kejohanan www.14wwc.iwuf.org.
Dalam acara tersebut, setiap negara boleh menampilkan dua atau tiga perserta.
Gandingan Amerika Syarikat, Lucy Lee dan Mia Tian merangkul pingar perak dengan jumlah catatan 9.22 mata manakala Macau memperoleh pingat gangsa menerusi gandingan Li Yi dan Sou Cho Man dengan 9.20 mata.
Malaysia memperoleh emas pertama menerusi Wong Wng Son dalam acara jianshu lelaki, Isnin.
Malaysia muncul pasukan keempat terbaik dengan dua emas, tiga perak dan tiga gangsa manakala China muncul juara keseluruhan dengan lapan emas.
Hong Kong menduduki tangga kedua dengan lima emas, tiga perak dan tiga gangsa diikuti Indonesia dengan dua emas, empat perak dan satu gangsa.
-Bernama

