Bisa Harry Kane sebagai jentera pemusnah Tottenham Hotspur memang sudah diakui, namun di peringkat lebih tinggi kemampuannya belum memadai.

Dalam usaha meletakkan dirinya sebaris dengan Lionel Messi atau Cristiano Ronaldo, Kane benar-benar teliti. Dia mengupah tukan masak peribadi bagi memastikan hidangan yang masuk ke badannya setiap hari memberi kesan kepada prestasi di atas padang.

"Saya ada tukang masak khas di rumah yang menyediakan hidangan yang betul.

"Kamu tak boleh berlatih bermati-matian ketika kamu perlu berdepan dengan banyak perlawanan dari semasa ke semasa.

"Jadi kamu kena makan dengan betul supaya saya boleh bermain dengan baik dan pada masa sama badan saya boleh pulih daripada kelesuan dengan segera," katanya.

Mula mengambil langkah berkenaan sejak hampir setahun lalu, Kane berkata, dia menanamkan keyakinan kepada diri sendiri bahawa kerjaya sebagai pemain bola sepak adalah singkat.

Katanya, tanpa disedari masa berlalu dengan pantas dan tidak ada satu hari pun wajar dibiarkan berlalu dengan sia-sia.

Kane, 24, berkata selama ini pun memang dia sentiasa menjaga pemakanan tetapi belum memadai.

Pada Disember tahun lalu Kane bertemu seorang lelaki yang memberikan penerangan mendalam dan membuka matanya kepada kepentingan amalan pemakanan yang betul.

"Dia menerangkan apa yang dilakukan badan untuk kembali cergas dan bagaimana ia boleh membantu saya, ia memang agak mengejutkan.

"Selama ini saya tak begitu mengambil berat hal-hal sedemikian," katanya.

Setiap hari kecuali Ahad

Menurut Kane dia menjadikan langkah menjaga pemakanan bermula 1 Januari lalu dan ia adalah azam tahun baru untuknya.

Langkah yang diambil Kane ternyata memuaskan hatinya. Kecederaan ligamen buku lali - misalnya - dipulihkan dengan berkesan.

Tukang masak itu, kata Kane, berada di rumahnya setiap hari kecuali Ahad. Untuk hujung minggu tukang masak berkenaan menyediakan hidangan lebih awal dan disimpan di dalam peti sejuk.

Namun walaupun setiap hari berada di rumahnya Kane jarang-jarang dapat bersemuka dengan tukang masak berkenaan.

"Saya sibuk berlatih dan dia memasak di dapur. Apabila siap dia akan meninggalkan makanan itu di dalam peti sejuk.

"Kami ada perancanan yang baik dan nampaknya memang berkesan," katanya.

Kane menjadi salah seorang pemain yang akan turun mewakili England menentang Slovenia pada awal pagi esok di Stadium Wembley, London.

Pengurus England Gareth Southgate (gambar) juga memberi kepercayaan kepada Kane menjadi ketua pasukan dalam misi mereka mengesahkan tempat ke Russia tahun depan.

Jika menang mengatasi Slovenia nanti England akan berada di tempat teratas kumpulan F.

Selain England dan Slovenia, empat pasukan lain dalam kumpulan itu ialah Slovakia, Scotland, Lithuania dan Malta. Bagaimanapun Lithuania dan Malta sudah tersingkir daripada saingan mencuri tempat ke Russia.

Tugas mengemudi England kini terletak di bahu Kane dan kawan-kawannya yang turut dibebani tugas bersama kelab masing-masing.

Tak ambil alkohol

Kata Kane apabila seseorang pemain beraksi sehingga tiga kali seminggu, tidak ada masa yang banyak untuk berlatih secukupnya.

Justeru katanya setiap aspek berkaitan perlu diambil kira, seperti mandian ais, regangan dan khasiat makanan untuk memastikan pemain benar-benar bersedia beraksi secara maksimum di padang.

"Inilah bola sepak era kini. Semua pemain juga buat benda yang sama.

"Kerjaya saya berlalu dengan pantas dan saya tak mahu ia disia-siakan walaupun sedikit," katanya.

Sejak mengamalkan pemakanan sihat prestasi Kane memang cemerlang dan dibuktikan di atas kertas dengan baik.

Daripada 31 kemunculan bersama Spurs Kane sudah menjaringkan 36 gol. Secara bandingan kemampuan Kane itu hanya kurang sembilan gol berbanding pencapaian Messi.

Pada masa sama ia adalah prestasi lebih baik berbanding Ronaldo yang mencipta 31 gol daripada 34 perlawanan.

Di peringkat skuad kebangsaan, Kane meledakkan lima gol dengan hanya lima penampilan.

Kane akan berdepan dengan Ronaldo tidak lama lagi apabila kelabnya bertemu Real Madrid untuk saingan Liga Juara-juara.

Untuk rekod Kane mengelak daripada mengambil arak sepanjang tempoh musim EPL. Dia juga mengambil lebih banyak ikan.

"Tapi saya tak kata tabiat pemakanan saya sempurna," katanya.