Berusia lebih tujuh dekad namun Bayern Munich tetap mempunyai keyakinan kepada Jupp Heynckes untuk mengemudi kelab itu sehingga musim semasa berakhir.

Laporan media di Jerman menyebut Heynckes ditunjuk pengurusan kelab gergasi Bundesliga itu mengisi kekosongan yang dipaksakan ke atas Calro Ancelotti.

Nama Heynckes sebenarnya bukanlah asing di kelab itu.

Apabila dia memulakan tugasnya nanti, Heynckes, 72, akan mengendalikan kelab berkenaan untuk kali keempat.

Sebelum ini Heynckes sudah membawa Bayern Munich menjuarai ketiga-tiga piala - Bundesliga, Piala Jerman dan Liga Juara-juara pada 2013.

Sebelum melakar nama dengan gah itu Heynckes pernah membimbing kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid pada 1997 hingga 1998, serta Athletic Bilbao (2001 - 2003), selain Benfica (1999 - 2000) di Portugal.

"Saya beri jaminan kepada anda semua bahawa saya tidak akan menjadi pengurus lagi. Perpisahan ini sudah cukup baik," katanya pernah dipetik ketika melepaskan tanggungjawabnya bersama Bayern Munich pada 2013.

Setakat ini tidak dapat dipastikan apakah 'azimat' digunakan pengurusan kelab Bayern Munich untuk melembutkan hati Heynckes.

Ancelotti, 58, dipecat daripada jawatannya pada minggu lalu apabila kelab bimbingannya kalah 0-3 kepada Paris Saint-Germain dalam saingan Liga Juara-juara.

Untuk sementara pembantu Ancelotti, Willy Sagnol, mengambil tanggungjawab mengemudi.

Sebelum ini beberapa nama termasuk Julian Nagelsmann dan Thomas Tuchel disebut akan ke Bayern Munich.

Selepas tujuh perlawanan Bayern Munich berada di tempat kedua liga dengan dijarakkan lima mata daripada pendahulu, Borussia Dortmund yang mengumpul 19 mata.