Tiada khabar Baddrol, Amirul Hisham nak ketepi Kedah
Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) menafikan berita kononnya dua tunggak utama mereka - Baddrol Bakhtiar dan Amirul Hisyam Awang Kecik - akan berhijrah ke JDT pada musim depan.
Setiausaha Kehormat KFA Datuk Aminuddin Omar berkata perkara itu tidak benar dan tidak pernah dinyatakan oleh pemain terbabit kepada pihak pengurusan.
"Ini mungkin khabar angin yang datang daripada sumber tak sahih kerana belum ada pemain yang menyatakan hasrat untuk meninggalkan kelab.
"Kita telah mengadakan perbincangan bersama semua pemain sebelum ini dan kita nampak mereka masih berminat untuk terus menyarung jersi Kedah.
"Begitu juga KFA berminat untuk terus mengekalkan semua pemain," katanya kepada pemberita di Wisma Darul Aman di Alor Setar hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan berhubung khabar angin tentang perpindahan Baddrol dan Amirul Hisyam ke JDT yang mula tular di laman sosial sejak beberapa hari lalu.
Dalam pada itu, Aminuddin berkata KFA juga tidak menerima sebarang surat daripada Mohd Nidzam Adzha Yusoff (gambar) yang menyatakan niatnya untuk menarik diri daripada menjadi ketua jurulatih Kedah.
"KFA masih menaruh kepercayaan kepada Mohd Nidzam untuk terus membimbing pemain Kedah dan ingin saya nyatakan di sini bahawa setakat ini di kem Kedah memang tiada berita berhubung dua perkara itu," katanya.
Kata Aminuddin, tumpuan utama pemain sekarang ialah untuk menghadapi baki perlawanan Piala Malaysia 2017 dan semua pemain berjanji untuk mencatat kejayaan pada musim ini.
"Oleh itu sya minta semua pemain untuk terus memberi tumpuan dalam baki perlawanan yang ada dan mencatat kejayaan demi peminat bola sepak Kedah," katanya.
Kedah bakal bertemu Felda United FC di Stadium Tun Abdul Razak pada 15 Okt ini bagi perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia 2017.
- Bernama

