Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Kes rogol, doping: ASUM serah pada pihak berwajib

Persatuan Renang Amatur Malaysia (Asum) akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkaitan berhubung kes gagal ujian doping dan rogol melibatkan atlet dan jurulatih sukan itu.

Presidennya Datuk Seri Shahidan Kassim berkata Asum juga tidak akan melindungi pihak terbabit.

"Asum menyerahkan kes ini kepada polis, Majlis Sukan Negara dan Institut Sukan Negara untuk disiasat," katanya kepada pemberita di Kangar, Perlis malam tadi.

Shahidan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagaimanapun meminta masyarakat menunggu keputusan ujian sampel ‘B’ oleh Agensi Antidoping Dunia sebelum menghukum atlet tersebut.

Media yang memetik Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sebelum ini melaporkan seorang atlet terjun wanita yang meraih pingat emas pada Sukan SEA Kuala Lumpur Ogos lalu gagal ujian doping yang dijalankan pada temasya itu.

Selain itu, Asum juga dilanda kontroversi apabila seorang jurulatih renang kebangsaan yang terbabit dalam program ‘Kita Juara’ ditahan polis selepas didakwa merogol seorang atlet bulan lepas.

- Bernama

Lihat Komen
ADS