Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Gabungan lama, baru mantapkan pasukan negara
Diterbitkan:  Oct 6, 2017 6:27 PM
Dikemaskini: 10:35 AM

Gabungan pemain berpengalaman dan baru akan memantapkan pasukan hoki lelaki negara menghadapi Kejohanan Piala Sultan Johor (SOJC) di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru, bermula 22 hingga 29 Oktober ini.

Jurulatih pasukan, Nor Saiful Zaini Nasiruddin berkata barisan pemain berkenaan mampu memberikan tentangan sengit kepada pasukan lawan yang terdiri daripada Great Britain, India, Amerika Syarikat, Jepun dan juara bertahan Australia pada kejohanan edisi ketujuh itu.

“Kami menggabungkan pemain berpengalaman dan muda yang baru pertama kali turun beraksi di SOJC. Saya percaya pasukan ini adalah barisan pemain yang terbaik pada masa depan.

“Kejohanan SOJC bukan medan untuk mencuba pemain kerana mereka adalah skuad utama. Pemain muda yang terpilih pula sangat berpengalaman,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata lapan daripada 20 pemain yang akan menjalani latihan fasa akhir pada 15 hingga 20 Okt depan, mempunyai pengalaman beraksi di peringkat antarabangsa.

Mereka termasuk Muhammad Zaimi Mat Deris, Mohammad Firdaus Omar, Luqman Nul Haqim Ahmad Shukran, Nor Syafiq Sumantri dan Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi.

Nor Saiful berkata sifat kepimpinan dan kematangan pemain berpengalaman itu diharap dapat menjadi contoh terbaik kepada rakan sepasukan.

“Setakat ini skuad ke SOJC merupakan skuad terbaik...mereka sangat berdisiplin, perkara paling mustahak saya mahu kesemua pemain cepat untuk menyesuaikan diri dengan taktikal yang diterapkan dalam pasukan,” katanya.

Malaysia muncul juara pada 2011 ketika pertama kali kejohanan itu dipertandingkan.

-Bernama

Lihat Komen
ADS