Zairil Khir Johari meletakkan jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), berkuat kuasa serta-merta.

Anggota parlimen Bukit Bendera itu berkata, beliau mengambil tanggungjawab untuk meletakkan jawatan berikutan pretasi hambar ditunjukkan pasukan itu musim ini.

"Justeru, saya selaku presiden FAP mengambil tanggungjawab penuh terhadap kegagalan pasukan Pulau Pinang musim ini dan meletak jawatan sebagai presiden berkuat kuasa serta-merta.

"Walaupun perjalanan saya dalam FAP adalah singkat, namun banyak yang telah saya harungi, pahit dan manis.

"Saya dan pasukan pengurusan telah melakukan yang terdaya dan yang terbaik," katanya menerusi pengumuman di Facebook sebentar tadi.

Zairil berkata, apabila strategi membawa masuk jurulatih asing tidak membuahkan hasil, FAP menukar strategi menggantikan Ashley Westwood dengan legenda bola sepak tempatan, Zainal Abidin Hassan.

Malangnya, katanya, sekali lagi nasib tidak menyebelahi pasukan itu.

Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada semua pegawai dan warga FAP serta kerajaan negeri atas sokongan yang diberikan selama ini.

"Akhir sekali, saya juga amat berterima kasih kepada para penyokong pasukan Harimau Kumbang yang sentiasa cekal bersama pasukan tidak kira keadaan," katanya.

Zairil dilantik menerajui FAP bagi mengantikan Datuk Nazir Ariff Munshi Ariff yang meletakkan jawatan Januari lalu.

Meskipun pelbagai strategi dilakukan, Pulau Pinang menunjukkan pretasi hambar dan tersingkir daripada saingan Liga Super 2017 setelah beraksi selama dua musim.

Sehubungan itu, skuad Harimau Kumbang akan menghadapi saingan 100Plus Liga Premier pada musim hadapan.

Skuad kendalian Zainal Abidin Hassan itu dinaikkan ke saingan Liga Super pada musim 2016 selepas berjaya menduduki tangga ke-2, Liga Perdana Malaysia pada musim 2015.