Penyokong Hong Kong ejek lagu kebangsaan
Hong Kong memang mengatasi Malaysia 2-0 malam tadi namun di atas gelanggang sendiri sedikit sebanyak pasukan itu tercalar reputasi mereka.
Dan ia berlangsung sebelum wisel permulaan permainan ditiup pengadil pun.
Sebelum perlawanan kelayakan Piala Asia 2019 itu bermula sebahagian penonton tuan rumah menyorak dan mengejek lagu kebangsaan mereka.
Kejadian itu berlaku di satu sudut stadium terletak di So Kon Po dan membabitkan penonton yang kebanyakannya orang muda.
Sesetengah mereka malah membelakangkan padang ketika lagu kebangsaan China itu dikumandangkan di stadium yang boleh memuatkan kira-kira 40,000 orang itu.
Akhbar South China Morning Post (SCMP) melaporkan satu kain pemidang yang menggesa supaya Hong Kong dimerdekakan daripada penguasaan Beijing turut dapat dilihat di stadium berkenaan.
Walaupun begitu Persatuan Bola Sepak Hong Kong (HKFA) memutuskan untuk terus memainkan lagu kebangsaan berkenaan walaupun ia bukan menjadi syarat wajib Fifa.
Pengerusi persatuan itu Brian Leung Hung-tak berkata pihaknya sentiasa mengalu-alukan kedatangan peminat dan tumpuan diberikan hanya kepada sukan.
"Kami tidak akan bercakap hal-hal lain kecuali bola sepak," katanya.
Dalam perlawanan itu Harimau Malaya kekal gagal mencatat kemenangan dan terpaksa akur kepada pasukan ke-147 dunia itu dengan dua jaringan tanpa balas.
Malaysia kini berada di tempat ke-166.
Piala Asia edisi ke-17 akan diadakan di Emiriah Arab Bersatu pada 5 Januari hingga 1 Februari 2019.
Selain tumpas skuad Malaysia juga tempang sejak minit ke-40 apabila ketua pasukan skuad negara sendiri, Safiq Rahim, dilayangkan kad merah kerana memijak pemain lawan, Daniel Rodriguez.
Walaupun merayu pengadil dari Sri Lanka, Nivon Robesh Gamini, tidak berganjak dengan keputusan dibuatnya dan mengarahkan Safiq meninggalkan padang serta-merta.
SCMP melaporkan kejadian malam tadi bukanlah yang pertama membabitkan kejian ke atas lagu kebangsaan China.
Kali pertama berlaku pada Jun 2015 membabitkan perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Bhutan. Ia juga berlaku kira-kira enam bulan selepas aktivis prodemokrasi mengadakan bantahan meluas di Hong Kong.
Sejak itu kejadian seumpama malam tadi berlaku secara berterusan sebanyak 14 kali.
HKFA pernah didenda dua kali oleh Fifa pada 2015 atas kesalahan gagal mengawal tingkah laku penonton.
Bagaimanapun lapor SCMP sepanjang tahun lalu hingga Jun tahun ini apabila Hong Kong menjadi tuan rumah kepada Korea Utara untuk perlawanan kelayakan Piala Asia.
Keadaan bertambah serius selepas Kongres Rakyat Kebangsaan meluluskan undang-undang lagu kebangsaan pada September dan menyatakan seseorang yang melakukan perbuatan menghina boleh dipenjara sehingga 15 hari di China.
Peraturan itu bagaimanapun belum dikuatkuasakan di Hong Kong.

