Salah satu punca tertutupnya laluan AS untuk ke Piala Dunia 2018 di Russia tahun depan bukan saja kekalahan mereka kepada Trinidad & Tobago malam tadi.

Sebaliknya kemenangan 2-1 pasukan Panama ke atas Costa Rica yang dibantu oleh 'gol hantu' perlawanan itu menjadi paku terakhir pada keranda AS yang gagal ke pusingan akhir Piala Dunia untuk kali pertama sejak 31 tahun lalu.

Costa Rica menjaringkan gol lebih awal melalui Johan Venegas pada minit ke-36 namun nasib dan tuah menyebelahi tuan rumah yang bermain di Stadium Rommel Fernandez itu tujuh minit selepas separuh masa kedua bermula.

Bermula dengan tendangan sudut, berlaku kekalutan di depan gawang Costa Rica dan dalam keadaan tidak menentu itu pengadil memberikan gol buat Panama melalui Gabriel Torres pada minit ke-52.

Bagaimanapun ulang tayang video menunjukkan bola berkenaan tidak melepasi garisan gol pun. Malah ada kemungkinan bola itu terkena tangan salah seorang pemain Panama.

Nasib sekali lagi tidak menyebelahi Costa Rica apabila Roman Torres pula menjaringkan gol pada minit ke-88.

Berbeza daripada gol pertama, jaringan kedua itu memang tidak dipertikaikan.

Kemenangan itu meletakkan Panama di tempat ketiga dengan 13 mata daripada 10 perlawanan, manakala AS tercampak ke tangga kelima walaupun cuba dibezakan satu mata dengan skuad Los Canaleros itu.

Trinidad & Tobago pula berada di tempat keenam dan tercorot dengan enam mata.

Kali terakhir AS gagal melangkah ke pusingan akhir Piala Dunia ialah pada 1986 di Mexico.

Sementara itu Panama meraikan kejayaan pertama kali itu kerajaan mengumumkan cuti khas hari ini.

"Suara rakyat sudah didengari; raikan hari bersejarah untuk Panama. Esok (hari ini) ialah cuti umum negara," kata Juan Carlos Varela melalui Twitter sejurus selepas pasukan negara itu mengesahkan tempat mereka ke Moscow.

Panama kini berada di kedudukan ke-60 ranking dunia Fifa.