Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Masalah tak selesai segera walau Vingada dipecat
Diterbitkan:  Oct 12, 2017 12:21 PM
Dikemaskini: 4:28 AM

Prestasi skuad bola sepak kebangsaan dalam pelbagai perlawanan antarabangsa tidak akan berubah mendadak sekalipun jurulatihnya, Nelo Vingada, dipecat gara-gara kegagalan membawa kemenangan kepada pasukan negara sejak membimbingnya.

Presiden FAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata permasalahan terbesar dalam skuad bola sepak negara kini ialah ia tidak mempunyai 'mentaliti meraih kemenangan' dalam kalangan pemain yang disifatkannya elemen paling getir dalam mentranformasikan kekuatan pasukan.

“Jika esok Vingada dipecat, anda akan tetap mempunyai masalah yang sama. Realitinya, masa tubuhkan kelab (JDT), kami perlukan dua ke tiga tahun untuk terapkan mentaliti meraih kemenangan.

"Jadi apa yang anda jangka untuk kami (FAM) buat dalam masa dua tiga bulan?” katanya ketika menjawab soalan ahli panel dalam satu sesi dialog di JDT Cafe di Johor Bahru, malam tadi.

Tunku Ismail berkata demikian sebagai mengulas gesaan pihak tertentu yang mahukan Vingada dipecat daripada jawatannya sebagai pengurus dan ketua jurulatih pasukan kebangsaan susulan siri kekalahan dalam perlawanan penting termasuk kelayakan Piala Asia 2019.

Semalam, pasukan Harimau Malaya tewas 0-2 kepada Hong Kong dalam aksi timbal balik kelayakan Piala Asia dengan kapten pasukan, Safiq Rahim, dilayangkan kad merah berikutan kekasarannya ke atas pemain lawan.

Sebelum itu, pasukan negara juga tewas menentang Lubnan dan juga pasukan Hong Kong pada perlawanan terdahulu.

Mengulas lanjut, Tunku Ismail tidak menyalahkan Safiq kerana mendapat kad merah sebaliknya menyatakan kesemua anggota pasukan harus disalahkan.

Tunku Ismail bertitah kekalahan dengan pasukan Hong Kong itu bukanlah yang terakhir bagi skuad negara malah akan ada lebih banyak lagi kekalahan pada masa depan, walaupun sukar untuk diterima.

"Tiada siapa bertanya apa yang sebenarnya berlaku dalam bola sepak Malaysia, di mana ia sudah bermasalah sejak dahulu lagi.

"Kita tak hakimi dengan satu kekalahan, kita perlu hakimi ia secara menyeluruh. Ini melibatkan soal pembangunan... pendidikan dari awal. Kalau dari kecil sudah diajar untuk jadi profesional, mereka akan jadi profesional,” katanya.

Terdahulu, sesi dialog itu menampilkan beberapa ahli panel termasuk pengulas sukan Abu Bakar Atan, Tabah Syazwan dari Media Prima Berhad dan Vijhay Vick dari FourFourTwo serta Ooi Kin Fai dari Goal.com yang mewakili penyokong bola sepak tempatan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS