Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Hafifi digantung sementara kerana gagal ujian doping
Diterbitkan:  Oct 13, 2017 3:33 PM
Dikemaskini: 7:52 AM

Atlet Olimpik negara, Mohd Hafifi Mansor, telah digantung sementara oleh Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) kerana gagal ujian doping.

Badan angkat berat dunia itu menyatakan penggantungan dibuat selepas dapatan analisis memudaratkan (AAF) sampel urin yang dikembalikan oleh atlet itu mengandungi Oxymetholone, bahan steroid sintetik anabolik dan androgenik.

"Dalam mana-mana kes di mana ia ditentukan bahawa atlet tidak melanggar peraturan antidoping, keputusan yang relevan juga akan diterbitkan. IWF tidak akan membuat apa-apa ulasan lanjut mengenai kes itu sehingga ia diselesaikan,” demikian kenyataan IWF yang disiarkan dalam laman web rasminya, www.iwf.net.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Agensi Antidoping Malaysia (ADAMAS), S. Nishel Kumar mengesahkan penggantungan sementara pemenang emas Sukan Komanwel 2014 itu.

“Adalah terlalu awal untuk memberi komen mengenal perkara ini...kami akan berhubung dengan Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM),” katanya.

Nishel berkata IWF telah memaklumkan pelanggaran antidoping oleh atlet berkenaan kepada pihaknya pada 11 Okt lepas.

“Kami ditanya oleh IWF sama ada atlet berkenaan menerima keputusan itu atau ingin mencabarnya. Kami akan membantu PABM untuk menyelesaikan perkara ini,” katanya.

Mohd Hafifi dipercayai gagal ujian doping pada Mac lepas.

Beliau digugurkan daripada beraksi pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Ogos lepas, susulan kecederaan paha kiri dialaminya ketika menjalani latihan di China, Julai lepas.

Mohd Hafifi tampil pada Sukan Olimpik Rio 2016 dengan meleburkan rekod kebangsaan dalam acara 69kg dengan mengangkat bebanan berjumlah 316kg berbanding rekod lama 313kg yang dilakukan pada Kejohanan Dunia di Perancis pada 2011.

Beliau merupakan sasaran negara untuk mempertahankan pingat emas pada Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia.

- Bernama

Lihat Komen
ADS