Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
City kembali 'berselera' pada Sanchez
Diterbitkan:  Oct 13, 2017 5:40 PM
Dikemaskini: 10:07 AM

Untuk kali pertama Arsene Wenger membuat pengakuan dia masih bersedia menjual pemainnya pada musim ini.

Dan pemain yang dimaksudkan itu ialah penyerang berbisa dari Chile, Alexis Sanchez, yang sebelum ini dikhabarkan hampir pasti berhijrah ke kelab lain.

Kata Wenger Sanchez dan Mesut Ozil mungkin dijual pada tempoh perpindahan dibenarkan FA England Januari ini jika persetujuan mengenai kontrak baru gagal dicapai.

Ekoran kenyataan Wenger itu Manchester City kembali menggiatkan usaha memikat Sanchez selepas cubaan mereka semasa tempoh perpindahan sebelum ini digagalkan oleh kesuntukan waktu.

Pada masa sama pelan itu juga diganggu akibat keengganan Monaco melepaskan Thomas Lemar, 21, yang menjadi percaturan Wenger mengantikan Sanchez, 28.

Sebelum ini City menawarkan yuran perpindahan bernilai £60 juta (RM336.5 juta) kepada Arsenal bagi mengikat pemain terbabit.

Sanchez dan seorang lagi ayam tambatan Arsenal, Ozil, kini berada di tahun terakhir kontrak mereka bersama The Gunners.

Jika tiada kontrak baru ditawarkan Januar ini adalah peluang terakhir Arsenal untuk menjual pemain terbabit dengan mendapat yuran perpindahan.

The Telegraph melaporkan Wenger sebagai berkata, tiada tarikh akhir ditetapkan untuk mencapai persetujuan dengan kelab yang berminat.

Ditanya sama ada masih terbuka kemungkinan untuk Ozil dan Sanchez kekal bersama Arsenal, Wenger segera membenarkannya.

"Saya selalu kata, hanya disebabkan kita gagal mendapatkan persetujuan ia tidak membawa maksud mereka akan meninggalkan kami.

"Kedua-dua pemain gembira di sini.

"Apabila anda berada di tempat kami, anda akan memikirkan segala jalan penyelesaian yang ada," katanya.

City menjadi kelab yang sangat berpotensi buat Sanchez namun masa depan Ozil - bakal berusia 29 tahun Ahad ini - masih kabur.

Pemain Jerman itu hanya diturunkan selama tujuh minit dalam enam perlawanan terakhir Arsenal.

Lihat Komen
ADS