Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Anak penjaga gol Persela ditaja pemerintah tempatan
Diterbitkan:  Oct 17, 2017 5:09 PM
Dikemaskini: 9:11 AM

Menjadi anak yatim tiba-tiba, anak-anak penjaga gol kelab Persela, Choirul Huda, akan dibela pemerintah tempatan untuk meneruskan persekolahan mereka.

Mereka ialah Muhammad Rachul Maulana 13, dan adiknya Rafael Ramadhan, 10.

Berita itu disampaikan jurucakap pejabat daerah Lamongan, Agus Hendrawan, kepada balu Choirul Huda, Lidya Anggraeni, 36, hari ini.

Mengesahkan perkara itu kepada Tempo Agus berkata pihak berkuasa tempatan Lamongan akan menanggung kos pengajian kedua-dua anak Choirul Huda hingga ke peringkat sekolah menengah atas.

Bagaimanapun langkah berkenaan bukan dibuat begitu saja. Sebaliknya ia adalah kerana Choirul Huda adalah kakitangan pemerintah daerah Lamongan, Jawa Timur.

Selain bermain sebagai penjaga gol utama Persela Choirul Huda ialah pegawai Jaatan Belia dan Sukan daerah berkenaan sejak lapan tahun lalu.

Choirul Huda meninggal dunia selepas berlaga dengan rakan sepasykannya Ramon Rodrigues ketika masing-masing cuba menyelamatkan gawang mereka daripada serangan Semen Padang.

Penjaga gol berusia 38 tahun itu terkena hentakan kuat pada dada dan terus terbaring kesakitan. Seorang anggota perubatan mendakwa Choirul Huda masih sedar dan mengaku kesakitan ketika itu namun tidak sedarkan diri sejurus kemudian.

Menurut doktor Choirul Huda mengalami hypoxia akibat hentaman kuat pada dada dan rahang bawah. Insiden itu juga mungkin menyebabkan dia mengalami trauma pada kepala, leher dan dada.

Keadaan itulah yang kemudian meragut nyawa atlet terbabit.

Hypoxia adalah keadaan apabila sistem badan mengalami kekurangan oksigen dan menyebabkan individu terbabit sukar bernafas.

Jantung pula akan berdegup lebih kencang dalam usaha semula jadi tubuh mahu membekalkan oksigen ke otak.

Selain pejabat daerah beberapa pihak lain juga dilaporkan tampil menghulurkan bantuan. Antaranya ialah Persatuan Bola Sepak Indonesia, serta pengurus kelab Persib Bandung dan bekas ketua pasukan skuad kebangsaan Ponaryo Astaman.

Perlawanan Persela dan Semen Padang berakhir dengan kemenangan 2-0 untuk pasukan Choirul Huda.

Ketika ini Persela berada di kedudukan ke-13 berbanding Semen Padang (15) daripada 18 kelab yang bersaing di Liga 1 (dulunya dikenali sebagai Liga Super Indonesia).

Lihat Komen
ADS