Paling Popular
Terkini

Kemajuan bola sepak di negara ini memerlukan satu program yang menyeluruh, selain daripada kesabaran dan perubahaan mentaliti, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

"Bola sepak tanah air hanya akan maju apabila wujud pembangunan menyeluruh dan usaha ini sudah bermula dengan beberapa perubahan yang digagaskan oleh kepimpinan FAM yang baru," kata Khairy dalam satu kenyataan mengulas isu bola sepak tanah air yang hangat diperkatakan baru-baru ini.

Menurutnya antara kejayaan pantas yang telah diperoleh adalah kelayakan pasukan B-22 ke pusingan akhir Piala Asia B-23, kejayaan pasukan yang sama merangkul pingat perak di Sukan SEA 2017 dan pasukan B-19 muncul naib juara di kejohanan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) B-19.

Khairy dalam kenyataan itu menyebut bahawa dalam usaha pembangunan bola sepak, Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) telah melatih 22,575 pemain berusia antara tujuh hingga 17 tahun, di bawah kendalian 1,025 jurulatih di 126 akademi seluruh negara.

"Walaupun kedudukan pasukan negara jatuh pada ranking Fifa terkini, kita perlu melihat kepada jangka sederhana dan panjang dengan kesabaran. Perubahan dan peningkatan tidak datang dengan sekelip mata.

"Saya sedar kita sudah lama sabar dan menantikan sesuatu, tetapi ingat, kepimpinan FAM baru sahaja dipilih pada 25 Mac lalu," katanya.

Malaysia gergasi Asia

Dalam pada itu Khairy juga mahu semua pihak supaya mempunyai mentaliti yang positif dan tidak terburu-buru mengkritik bola sepak negara dan kepimpinan FAM tanpa usul periksa.

"Saya sedih melihat polemik bola sepak negara yang menyerang individu-individu tanpa usul periksa, yang memberi tumpuan kepada ayat-ayat gurauan dan bukan kepada inti pati sebenar yang serius, yang suka ejek-mengejek dan mencaci-maki.

"Mentaliti tersebut tidak ada pada negara-negara yang berjaya. Apa yang ada pada mereka adalah set minda yang positif dan mentaliti untuk menang," kata Khairy.

Beliau juga berharap kepimpinan FAM akan terus mara dan tidak memperdulikan suara-suara yang negatif itu.

"Kita mempunyai barisan kepimpinan FAM yang berwibawa dan diterajui oleh Duli Yang Amat Mulia Mejar Jeneral Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mempunyai rekod yang cemerlang selaku pemilik JDT.

"Saya harap kita semua memberi masa kepada baginda untuk membina kejayaan bola sepak negara.

"Saya yakin sentuhan magis baginda yang meletakkan JDT di puncak bola sepak rantau Asia Tenggara dapat juga diberikan kepada bola sepak negara.

"Syaratnya, kita mesti positif dan memberi sokongan kepada FAM untuk buat apa saja yang perlu dibuat, mengubah apa sahaja yang perlu diubah, demi menjadikan Malaysia gergasi bola sepak Asia," kata Khairy.

- Bernama

Lihat Komen
ADS