Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Kedah masih perlu khidmat Muhammad Syafiq
Diterbitkan:  Oct 19, 2017 7:46 PM
Dikemaskini: 12:02 PM

Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) berharap penyerang prolifik muda mereka, Muhammad Syafiq Ahmad, tidak mudah gelap mata dengan sebarang tawaran atau janji pasukan tertentu sehingga membuat keputusan terburu-buru.

Naib Presiden KFA Datuk Badrol Hisham Hashi sebaliknya berkata pemain yang beraksi untuk skuad bawah 22 tahun negara itu perlu mempertimbangkan beberapa aspek, termasuk pasukan yang telah menaikkan namanya sehingga ke tahap sekarang.

"KFA tidak pernah menghalang mana-mana pemain untuk meninggalkan kita sekiranya mendapat tawaran kerana ia hak masing-masing.

"Kedah juga salah sebuah pasukan disegani... kalau dia berhijrah, belum tentu lagi pasukan itu akan mencapai keputusan yang baik.

"Fikirlah semangat dan jati diri untuk membantu pasukan Kedah," katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan lawatan kerja di Kampung Kubu dekat Kuala Nerang Kedah hari ini.

Baru-baru ini, pemain berusia 22 tahun itu menyatakan dia sanggup berhijrah ke pasukan JDT sekiranya diberi tawaran, selain menyebut bahawa tidak salah untuk dia mengadakan rundingan dengan mana-mana pasukan memandangkan kontraknya akan berakhir tidak lama lagi.

Badrol berkata Kedah sebenarnya amat memerlukan khidmat Muhammad Syafiq memandangkan pemain berkenaan dilihat mempunyai potensi yang cerah bersama pasukan berkenaan.

"Beliau anak didik kita (KFA), kita sayang dia..

"Memang kita menaruh harapan yang tinggi untuk dia bersama kita. Lagi pun pasukan kita sekarang tengah berada di prestasi terbaik," katanya.

Ketika ditanya berhubung isu gaji yang menyebabkan Muhammad Syafiq mungkin 'makan hati', beliau berkata KFA merupakan sebuah pasukan yang berbelanja mengikut kemampuan.

"Gaji ditawarkan KFA tidaklah serendah mana berbanding pasukan lain.. masih munasabah.

"Depa (pemain) kena ingat, jangan teruja dengan janji," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS