Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Kita perlu lebih banyak kelab macam JDT
Diterbitkan:  Oct 20, 2017 8:13 PM
Dikemaskini: 12:18 PM

Kementerian Belia dan Sukan bersedia mengkaji semula rancangan membida penganjuran temasya Sukan Komanwel 2022 selepas kejayaan negara menganjurkan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Ogos lepas.

Justeru, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata beliau akan membincangkan rancangan itu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana beliau berpendapat Malaysia perlu melihat kepada penganjuran temasya sukan yang lebih besar.

Walaupun sebelum ini Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menyatakan pendirian untuk tidak membuat bidaan, namun beliau ingin mengkaji semula perkara itu memandangkan Malaysia mampu menganjurkan sukan berkenaan selepas kali pertama melakukannya pada 1998.

"(Menganjurkan) Sukan Olimpik mungkin terlalu besar buat waktu ini dan Sukan Asia pula kosnya terlalu tinggi, manakala yang masih boleh dipertimbangkan ialah Sukan Komanwel,” katanya pada sidang media mengenai program Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun (SSEAYP) di Putrajaya hari ini.

Khairy berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan MOM bahawa Malaysia tidak akan membida penganjuran Sukan Komanwel 2022 walaupun tarikh bidaan dilanjutkan hingga 30 Nov ini.

Jawab Jamal Nasir

Sukan Komanwel 2018 akan diadakan di Gold Coast, Austrlalia.

Ditanya mengenai pandangan segelintir bekas pemain kebangsaan bahawa kemerosotan prestasi pasukan bola sepak negara disebabkan pemain bintang yang diambil kelab JDT hanya menghiasi bangku simpanan, Khairy berkata ia adalah pandangan pihak yang iri hati dengan pasukan itu.

Katanya, walaupun pemain bintang terbabit menjadi pemain simpanan, namun pemain JDT terdedah kepada perlawanan berprestij yang tidak ditandingi pasukan lain seperti Piala AFC.

"Adakah jika pasukan kebangsaan Sepanyol kalah, kita salahkan Barcelona atau Real Madrid? Sepatutnya kita harus menggalakkan lebih banyak kelab menjadi seperti JDT," katanya.

Khairy berkata peminat perlu memberi sokongan kepada pasukan negara dan tidak mengharapkan kejayaan yang terlalu pantas.

Semalam, bekas pemain kebangsaan era 70-an, Datuk Jamal Nasir Ismail mendakwa antara punca kemerosotan prestasi dan ranking skuad kebangsaan disebabkan penghijrahan pemain bintang tempatan ke skuad JDT.

Beliau mendakwa pemain tunggak negara yang begitu menyerlah sebelum menyertai skuad Harimau Selatan itu seakan hilang sentuhan apabila kembali beraksi bersama skuad negara.

- Bernama

Lihat Komen
ADS