Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Pafa puas hati prestasi pemain tapi kecewa keputusan perlawanan
Diterbitkan:  Oct 22, 2017 6:57 PM
Dikemaskini: 3:07 PM

Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) berpuas hati dengan prestasi ditampilkan pemain Perak walaupun tewas 0-3 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia 2017 di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.

Keputusan itu menyaksikan Perak tumpas dengan agregat 1-4, selepas kedua-dua pasukan seri 1-1 pada perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Perak, Ipoh pada Ahad lepas.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berkata walaupun berdepan misi sukar, barisan pemain Perak tidak menunjukkan rasa gentar, sebaliknya berjuang habis-habisan untuk mencatat kemenangan.

"Malah, ada antara pemain yang menangis kerana sedih tidak dapat menghadiahkan kemenangan kepada penyokong.

"Kita berpuas hati dengan pemain, tetapi hanya kecewa dengan keputusan perlawanan. Bagi kita, peminat nampak dan boleh menilai aksi keseluruhan yang dipamerkan pemain," katanya kepada pemberita selepas menyambut ketibaan pemain Perak di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, di Ipoh hari ini.

Terdahulu, sambutan itu dihadiri kira-kira 500 penyokong setia skuad The Bos Gaurus.

Abdul Puhat berkata Pafa menerima kekalahan tersebut dengan hati terbuka dan berjanji akan meningkatkan prestasi pasukan bagi mencabar kejuaraan Liga Super dan Piala Malaysia pada musim depan.

Sementara itu, pengendali Perak, Mehmet Durakovic berkata beliau terkejut selain berbangga dengan komitmen ditonjolkan anak buahnya walaupun beraksi tanpa lima tonggak utama.

Beliau berkata beberapa pemain muda yang diberi tanggungjawab mengisi kekosongan itu nyata melaksanakan tugas mereka dengan baik.

"Anda boleh saksikan sendiri bagaimana Kenny Pallraj dan Beto (Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri) beraksi. Walaupun jarang diturunkan, aksi mereka semalam antara yang terbaik pernah saya saksikan," katanya.

-Bernama

 

Lihat Komen
ADS