Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan

Kerajaan Kelantan akan mempertimbangkan beberapa cadangan bagi membantu Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mengembalikan kegemilangan skuad The Red Warriors (TRW) pada musim depan.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Fattah Mahmood, berkata antara cadangan tersebut adalah pengurangan levi stadium termasuk beberapa langkah bagi memperkuatkan pasukan itu.

Jelasnya, sejajar dengan hasrat kepimpinan baru yang diterajui Presiden Kafa, Bibi Ramjani Ilias Khan, pihaknya akan bersama-sama memastikan TRW kembali ke puncak liga pada musim hadapan.

"Kerajaan negeri memberi sokongan sepenuhnya dalam ruang lingkup untuk membantu Kafa memperkuatkan kembali pasukan Kelantan sekali gus dapat bersaing dengan pasukan lain dengan lebih bergaya.

"Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, turut meletakkan sasaran kepada pasukan Kelantan agar kembali berada di puncak liga. Insya-Allah dengan semangat baru oleh kepemimpinan Kafa saya percaya pencapaian itu akan terlaksana," katanya selepas pertemuan bersama kepemimpinan Kafa yang turut disertai Ahmad di Pejabat Menteri Besar Kelantan, di Kompleks Kerajaan Negeri Kota Darul Naim, Kota Bharu, hari ini.

Pertemuan sekitar satu jam itu merupakan kunjungan hormat Bibi Ramjani kepada kerajaan negeri sekali gus membuka perbincangan kerjasama kedua-dua pihak.

Terdahulu, usahawan wanita itu mencipta sejarah tersendiri selepas dipilih sebagai presiden Kafa pada kongres yang berlangsung 17 September lalu.

Sementara itu, Bibi Ramjani berkata pertemuan itu turut membincangkan aspek kemudahan yang diperlukan oleh pasukan TRW.

Menurutnya, kerajaan negeri turut memberi petanda positif dalam beberapa perkara selepas diusulkan pihaknya.

"Kafa dan kerajaan negeri mengaktifkan semula jawatankuasa bersama bagi meningkatkan prestasi pasukan sekaligus mengembalikan nama pasukan ke puncak kejayaan bolasepak negara.

"Kita bersetuju dan melantik Ab Fattah sebagai pengerusi kepada jawatankuasa berkenaan. Segala perbincangan lanjut mengenai kerjasama Kafa dan kerajaan negeri akan dilakukan dalam jawatankuasa itu," katanya.

 

Lihat Komen
ADS