Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Bos Juventus bahagia penyerang dapat kad merah
Diterbitkan:  Oct 23, 2017 2:27 PM
Dikemaskini: 6:31 AM

SERIE A | Selepas gagal meraih mata penuh melalui dua perlawanan berturut-turut, tidak ada apa yang lebih diingini oleh skuad bimbingan Massimiliano Allegri kecuali kemenangan.

Sebelum ini mereka kalah kepada Lazio dan cuma seri dengan Atalanta, Juventus perlu fokus kepada corak permainan yang sepatutnya.

Semalam mereka bertandang ke Friuli untuk menghadapi Udinese.

Perlawanan bermula dengan memihak kepada tuan rumah apabila pemain mereka, Perica, mencuri peluang membolosi gawang dikawal Gianluigi Buffon seawal minit kelapan lagi.

Seorang lagi pemain Udinese, Caetano de Souza Santos, kemudian membuat jaringan melalui tandukan kencang dan cantik kira-kira enam minit kemudian.

Ia adalah jaringan yang menarik - kecuali bola itu menerjah gawangnya sendiri. Jaringan itu menjadikan kedudukan kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Pemain antarabangsa Jerman dan bekas bintang Real Madrid, Sami Khedira meletakkan Juventus di depan pada minit ke-20.

Enam minit berselang bekas bintang Bayern Munich, Mario Mandzukic, dijatuhkan di kotak penalti dan pengadil bersedia untuk memberikan tendangan penalti.

Namun berlaku ketengan di antara Mandzukic dengan pemain Udinese, Ali Adnan. Pengadil mengeluarkan kad kuning kepada kedua-dua pemain namun Mandzukic, 31, masih tidak berpuas hati.

Dalam tempoh kurang dari lima saat Mandzukic mencipta detik 'istimewa' tersendiri apabila dilayangkan kad kuning kedua, sekali gus menerima kad merah dan diarah meninggalkan padang.

Dapat lebih fokus

Berbanding skuad lengkap 11 orang Allegri nampaknya berterima kasih kepada Mandzukic.

Bermain dengan 10 orang kelab yang kini berada di tempat ketiga - di belakang Napoli dan Inter Milan - menyempurnakan perlawanan itu dengan menambah empat lagi gol menjadikan Udinese dibenam di detik terakhir dengan 6-2.

Tida daripada gol itu disumbangkan oleh Khedira.

Mengulas kejadian itu Allegri tidak memarahi Mandzukic sebaliknya berterima kasih kepada pemain terbabit.

"Saya memang nak merehatkan Mandzukic untuk perlawanan akan datang pun," katanya.

Tidak seperti pengurus lain Allegri berkata dia wajar 'berterima kasih' kepada pemain Croatia itu kerana Juventus perlu kembali berada dalam mood mencari kemenangan.

"Prestasi kami dalam dua perlawanan sebelum ini merosot tetapi kami perlukan sesuatu seperti hari ini.

"Dengan 10 pemain Juventus lebih fokus," katanya seperti dipetik Reuters.

Dua lagi penyumbang gol Juventus ialah Daniele Rugani pada minit ke-52 dan pemain dari Bosnia Herzegovina, Miralem Pjanic (minit ke-90).

Berbanding Juventus, Udinese kini berada di tempat ke-15 daripada 20 kelab yang bersaing dalam Serie A Itali.

Lihat Komen
ADS