Akhirnya berjaya melangkah keluar dari padang dengan bergaya dan penjaga golnya beraksi sungguh cemerlang, Pengurus Manchester City Pep Guardiola muncul dengan rungutan tersendiri.

Dia berang kerana terpaksa menunggu lebih 120 minit untuk menyaksikan gawang lawan diterjah bola.

Bagi pengendali dari Sepanyol itu, kesalahan perlu diletakkan pada bola yang digunakan.

"Ia terlalu ringan, tak ada berat sama sekali.

"Ini bukan bola yang baik. Mustahil untuk kami membuat jaringan dengan bola sebegini," katanya mengenai bola jenama Mitre yang digunakan ketika City bertemu kelab Liga Championship, Wolverhampton Wanderers malam tadi.

Perlawanan masa sebenar untuk Piala Carabao itu berakhir dengan kedua-dua kelab gagal membuat jaringan. Selepas 30 minit masa tambahan kebuntuan itu gagal dirungkai memaksa penentuan pemenang dibuat melalui tendangan penalti.

Penjaga gol City Claudio Bravo melakukan sekurang-kurangnya tiga aksi tangkas untuk mengelakkan gawang kelab itu bocor semasa waktu permainan biasa dan dua kali menangkis penalti.

Ia mungkin dapat menutup seketika kritikan peminat terhadap prestasi pemain kebangsaan Chile itu tetapi bukan Guardiola.

"Ini tak boleh diterima, bola ini tak sesuai untuk perlawanan tahap tinggi," katanya.

Perlawanan berakhir dengan City mengalahkan Wolve 3-1.

Untuk rekod dalam saingan EPL City kini berada di puncak liga dengan 25 mata serta mencatat 32 gol.

Kata Guardiola dia berhak merungut dan wajar kerana City menang dalam perlawanan berkenaan.

"Saya bukan cari alasan. Semua pemain pelik dan tak selesa dengan bola ini," katanya.