Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
'JDT sudah capai misi, Piala Malaysia cuma bonus'
Diterbitkan:  Oct 26, 2017 10:01 PM
Dikemaskini: Oct 27, 2017 3:01 PM

Bagi Presiden Johor Darul Ta'zim (JDT) Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim, kelab itu sudah mencapai matlamatnya musim ini iaitu memenangi Liga Super untuk beraksi di kejohanan Piala AFC.

Justeru Piala Malaysia hanyalah satu bonus dan bukannya keutamaan buat mereka, kata Tunku Tun Aminah.

"Keutamaan kelab JDT pada setiap tahun adalah Liga (Super) dan Piala FA untuk beraksi dalam (Piala)  AFC. Jadi, itu adalah matlamat utama dan polisi Kelab JDT.

"Piala Malaysia ini ibarat bonus. Kalau dapat Alhamdulillah, kalau tidak dapat ia bukan satu keutamaan. Tetapi apa-apa kejayaan sekalipun, kami hargai," katanya dalam wawancara yang disiarkan laman Facebook Johor Southern Tigers hari ini.

Bagi edisi 2017, JDT mengekalkan kejuaraan bagi Liga Super, manakala Piala FA pula menjadi milik Kedah.

Dalam Piala Malaysia kali ini, JDT menempah tiket ke perlawanan akhir selepas menundukkan Perak dengan agregat 4-1.

Pasukan itu bakal berdepan dengan juara bertahan Kedah, yang menewaskan Felda United dengan agregat 3-1.

Ini merupakan kali kedua JDT layak ke pentas final Piala Malaysia, selepas menjadi naib juara pada 2014 selepas tewas kepada Pahang 5-3 menerusi sepakan penalti.

Tiada bonus jika menang

Pada tahun lalu, bekas pengendali JDT Mario Gomez juga pernah menyuarakan perkara sama, bahawa piala yang menjadi rebutan semua pasukan bola sepak tempatan itu bukan matlamat utama JDT.

Mengulas lanjut tentang dasar JDT itu, Tunku Tun Aminah berkata kelayakan ke Piala AFC lebih diutamakan antaranya kerana ia membolehkan penaja kelab mempromosikan jenama mereka ke luar negara.

"Mereka mahu mempromosikan nama bukan sahaja dalam negara, tetapi juga di luar negara," katanya lagi.

Tunku Tun Aminah juga berkata, pemain tidak akan diberikan bonus jika berjaya menjulang piala berprestij itu, apatah lagi pemain sudah menerima bonus yang besar selepas menjuarai Liga Super Ogos lalu.

Namun, katanya lagi, ia tidak bermakna JDT akan memberikan laluan mudah untuk mempertahankan kejuaraan mereka.

"JDT mempunyai kelemahan kerana kehilangan (pemain pertahanan) Marcos Antonio. Tetapi saya yakin pemain akan memberikan seratus peratus dan saingan sengit," katanya lagi.

Perlawanan akhir Piala Malaysia 2017 akan diadakan di Stadium Shah Alam 4 November ini.
 

Lihat Komen
ADS