Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
MOM: Bajet 2018 bantu atlet hadapi temasya antarabangsa
Diterbitkan:  Oct 27, 2017 8:19 PM
Dikemaskini: 12:28 PM

BAJET 2018 I Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berkata peruntukan yang disalurkan menerusi Bajet 2018 akan membolehkan atlet negara membuat persiapan rapi bagi menghadapi Sukan Komanwel 2018 di Australia dan Sukan Asia 2018 di Indonesia.

Setiausaha Agungnya Datuk Low Beng Choo menegaskan pelbagai program latihan persediaan atlet boleh dijalankan dengan berkesan oleh badan induk itu dengan peruntukan yang sewajarnya.

“Kita berharap ia dapat dimaksimumkan sebaik mungkin oleh anggota gabungan kita termasuk persatuan sukan kebangsaan kerana kita juga akan memberi fokus kepada persediaan atlet negara untuk menghadapi beberapa kejohanan lain,” kata Low ketika dihubungi Bernama.

Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2018 di Dewan Rakyat hari ini mengumumkan peruntukan RM1 bilion untuk pelbagai inisiatif berkaitan sukan bagi mengekalkan momentum bidang sukan ke arah Malaysia menjadi kuasa besar sukan.

Perdana Menteri berkata inisiatif itu termasuk program FitMalaysia, Hari Sukan Negara, program latihan atlet, program akar umbi dan program pembangunan bola sepak negara.

Najib turut mengumumkan pembinaan 14 kompleks sukan baharu di seluruh negara dengan kos RM112 juta selain peruntukan RM20 juta untuk menambah baik kemudahan di Sekolah Sukan Bukit Jalil.

Berkongsi pandangan dengan Low, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata peruntukan RM1 bilion itu membolehkan mereka menjalankan lebih banyak program persediaan atlet terutama dalam menghadapi Sukan Komanwel dan Sukan Asia 2018.

“Pengumuman Perdana Menteri mengenai pembinaan 14 kompleks sukan itu juga merupakan satu langkah yang baik untuk melahirkan lebih ramai bakat baharu dan menjadi tempat meningkatkan lagi kemahiran dalam bidang sukan masing-masing,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) Safirul Azli Abu Bakar pula menyifatkan peruntukan RM1 bilion itu bukti kesungguhan kerajaan dalam meningkatkan prestasi sukan berprestasi tinggi selain memperkasa program sukan di peringkat akar umbi.

Nada yang sama turut disuarakan Pengetua Sekolah Sukan Bukit Jalil, Asmad Ahmad yang mempunyai beberapa perancangan untuk menaik taraf peralatan dan program pembangunan sekolah itu termasuk dengan input Kementerian Pendidikan.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria pula berharap lebih banyak fasiliti sukan badminton dapat diwujudkan terutama di kawasan pantai timur Semenanjung, Sabah dan Sarawak. -Bernama

Lihat Komen
ADS