Pelumba Moto3 negara, Adam Norrodin masih yakin untuk menamatkan perlumbaan Motosikal Grand Prix Malaysia (MotoGP) 2017 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), esok walaupun bakal memulakan perlumbaan dari petak ke-15.

Pelumba SIC Racing Team berusia 19 tahun itu berkata, kedudukan ke-15 selepas mencatatkan masa dua minit 13.847 saat pada sesi kelayakan hari ini, bukannya satu ‘malapetaka’ buatnya, tetapi memberikan semangat untuk bangkit mencatatkan keputusan baik pada perlumbaan esok.

“Sebelum ini saya pernah meraih kedudukan yang lebih buruk pada kelayakan tetapi mampu memperbaikinya pada perlumbaan...Esok adalah hari yang berbeza, jentera saya berada dalam keadaan baik, cuma sedikit bermasalah di bahagian tayar belakang apabila cuaca sangat panas, tetapi masih ada kelajuan untuk kejar ke depan.

“Kedudukan 10 teratas itu sangat penting untuk mengutip mata bagi memperbaiki kedudukan pada kejuaraan dunia. Untuk esok, saya harapkan keputusan yang terbaik bagi musim ini,” katanya kepada pemberita selepas sesi kelayakan./

Pelumba Sepanyol, Joan Mir, yang mengesahkan kejuaraan dunia di Australia minggu lalu, akan memulakan perlumbaan dari petak pertama selepas mencatatkan 2:12.078s, diikuti oleh Jorge Martin dari Del Conca Gresini Moto3 (2:12.457s) dan pelumba British Talent Team, John Mcphee (2:12.816s).

Sementara itu, Adam, anak jati Parit Raja, Johor itu mengakui bahawa merasakan perasaan bercampur baur menjelang perlumbaan keduanya di sini apabila bakal beraksi di hadapan peminat tempatan dan keluarga yang hadir menyaksikan perlumbaan.

“Mungkin sesuatu yang biasa kepada semua pelumba apabila beraksi di negara sendiri. Kejadian tahun lepas juga tidak merendahkan semangat berjuang saya...Tahun lepas saya jatuh kerana pelumba di hadapan saya jatuh dan saya tidak dapat elak.

“Tahun ini saya tak nak terlepas apa-apa peluang, akan cuba bermula kuat dari permulaan lagi dan elakkan sebarang kesilapan. Kita juga tidak boleh terlalu berjaga-jaga kerana pelumba di belakang akan terus kejar dan mencari kelemahan kita untuk memintas,” katanya.

Adam kini berada pada kedudukan ke-17 dengan 37 mata selepas 16 pusingan, dibantu dengan kejayaan menamatkan perlumbaan di Republik Czech di tempat kesembilan dan tempat kelapan di Austria dan Australia.

-Bernama