Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
KJ: Pecahan RM1 bilion untuk KBS akan dibincang
Diterbitkan:  Oct 28, 2017 10:31 PM
Dikemaskini: 2:45 PM

Pecahan terperinci peruntukan RM1 bilion untuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang diumumkan ketika pembentangan Bajet 2018 akan dibuat selepas pertemuan dengan Kementerian Kewangan.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata beliau akan tentukan sukan mana yang akan mendapat peruntukan tersebut dan bukan hanya bola sepak seperti menjadi bualan ramai.

"Selepas mendapat penjelasan Kementerian Kewangan saya akan berjumpa ISN (Institut Sukan Negara), MSN (Majlis Sukan Negara) dan persatuan sukan untuk bincang sukan mana dan banyak mana akan disalurkan.

"Semalam saya hanya dengar ucapan, tidak tahu mengenai pecahan peruntukan yang akan digunakan untuk program pembangunan sukan," katanya kepada media ketika menyaksikan Kejohanan Terjun FINA Grand Prix (GP) Kuala Lumpur 2017 di Pusat Akuatik Nasional di Bandar Sukan Kuala Lumpur.

Dalam pembentangan bajet itu di Dewan Rakyat semalam, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan RM1 bilion untuk pelbagai inisiatif berkaitan sukan bagi mengekalkan momentum bidang sukan ke arah Malaysia menjadi kuasa besar sukan.

Inisiatif itu termasuk program FitMalaysia, Hari Sukan Negara, program latihan atlet, program akar umbi dan program pembangunan bola sepak negara.

Najib turut mengumumkan pembinaan 14 kompleks sukan baru di seluruh negara dengan kos RM112 juta selain peruntukan RM20 juta untuk menambah baik kemudahan di Sekolah Sukan Bukit Jalil.

Dalam pada itu, Khairy berkata Najib juga berpesan kepadanya agar atlet-atlet negara meneruskan momentum cemerlang yang dilakukan pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 serta Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil yang merupakan pencapaian terbaik dalam sejarah negara.

"Kita telah bina momentum baik. Perdana Menteri telah bagi satu peruntukan besar untuk lihat momentum ini kekal. Beliau tidak mahu lihat kejayaan ini hanya kerana kita adalah tuan rumah dan beliau mahu kita cari lebih ramai bakat baharu," katanya yang berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan Perdana Menteri terhadap pembangunan sukan negara. -Bernama

Lihat Komen
ADS