Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
'Atlet senior patut tahu bahan terlarang Wada'
Diterbitkan:  Oct 28, 2017 10:39 PM
Dikemaskini: 2:44 PM

Atlet senior negara sepatutnya lebih tahu mengenai jenis bahan terlarang yang ditetapkan oleh Agensi Anti Doping Dunia (Wada) dan perlu memaklumkan serta merujuk kepada Institut Sukan Negara (ISN) dahulu sebelum mengambil sebarang makanan tambahan.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata demikian merujuk kepada kes doping yang melibatkan penerjun negara, Wendy Ng Yan Yee yang gagal dalam ujian doping jenis Sibutramine ketika temasya Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017) pada Ogos lepas.

"Setiap kali ada kes doping memang jadi pengajaran kepada kita. Saya risau kerana ini kes berulang. Bahan yang Wendy Ng ambil sama dengan yang diambil atlet wusyu (Tai Cheau Xuen) pada Sukan Asia 2014.

"Wendy bukan atlet baru tetapi sudah senior dan telah ke Olimpik Rio, yang mana dia sepatutnya tahu dia tidak boleh ambil sebarang makanan tambahan yang tidak dikeluarkan ISN," katanya kepada media ketika menyaksikan Kejohanan Terjun FINA Grand Prix (GP) Kuala Lumpur 2017.

Beliau berkata mana-mana atlet yang didapati positif doping, termasuk Wendy Ng, akan diberi peluang untuk membela diri kepada persatuan masing-masing.

"Saya serah kes ini kepada ASUM (Persatuan Renang Amatur Malaysia) untuk meneruskan proses seterusnya dan menetapkan hukuman. Alasan dia (Wendy), saya tidak tahu," katanya.

Pada temasya KL2017, Wendy berjaya meraih dua pingat emas iaitu dalam acara 3 meter papan anjal individu wanita dan dalam acara seirama bergandingan dengan Nur Dhabitah Sabri .

Jika sabit kesalahan, kedua-dua pingat yang diraih Wendy akan ditarik balik oleh Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) namun ASUM berhasrat membuat permohonan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) serta SEAGF agar hanya pingat individu yang dimenangi Wendy ditarik balik.

-Bernama

Lihat Komen
ADS