Wakil negara, Nur Amirah Auni Azman berjaya menambah koleksi pingat perak pada hari terakhir Kejohanan Boling Remaja Asia dalam acara Masters wanita di Manila, hari ini.

Nur Amirah sebelum ini telah menyumbang pingat perak dalam acara perseorangan wanita dan berpasukan, tewas 381-446 (163-212, 218-234) kepada pilihan ketiga Lee Jung Min dari Korea Selatan pada perlawanan akhir stepladder, menurut laman web Persekutuan Boling Asia (ABF), www.abf-online.org.

Seorang lagi wakil negara, Faten Najihah Ahmad Faik terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa setelah tewas di pusingan pertama stepladder ke atas pemenang pingat emas, Jung Min (211-258).

Untuk rekod, skuad boling negara telah meraih satu pingat emas pada hari pembukaan menerusi Tun Ameerul Al-Hakim dalam acara perseorangan lelaki.

Malaysia berakhir di tangga kedua keseluruhan pada kejohanan itu dengan satu emas, tiga perak dan satu gangsa manakala Korea Selatan muncul juara dengan tujuh emas, satu perak dan dua gangsa.

 

-Bernama