Tiada yang lebih menggembirakan buat jurulatih T-Team Rachmat Darmawan selain bersyukur apabila pasukannya berjaya mengekang Sarawak, sekali gus kekal dalam Liga Super musim depan.

Beliau mengakui Sarawak lebih menguasai perlawanan dengan serangan bertali arus serta beberapa percubaan namun berjaya diselamatkan penjaga gol Mohd Suhaimi Husin.

“Saya mengarahkan pemain-pemain saya lebih bertahan dan sekali sekala lancarkan serangan balas. Nampaknya taktik itu berhasil mengekang kemaraan pasukan lawan,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan di Stadium Negeri, Petra Jaya malam tadi.

Beliau turut menyatakan kesediaannya menerima tawaran untuk terus membimbing T-Team bagi musim depan.

“Kita mempunyai ramai pemain muda yang berkebolehan dalam pasukan sekarang dan saya percaya kita akan memiliki pasukan yang lebih kuat bagi menghadapi musim baru,” katanya.

Rachmat berharap pihak pengurusan T-Team tidak akan sewenang-wenangnya melepaskan pemain sedia ada kepada pasukan lain.

Beliau memberi reaksi sedemikian apabila diberitahu ura-ura beberapa pemain T-Team sedang diintai pasukan lain.

Katanya, tindakan melepaskan pemain kepada pasukan lain adalah merugikan kerana penggantinya belum pasti pemain yang lebih baik.

T-Team mengakhiri musim ini pada kedudukan ke-10 setelah Kelantan mencatat kemenangan ke atas Melaka FC dalam perlawanan terakhir malam tadi.

- Bernama