Berusia baru 21 tahun dan bermain di kelab yang umumnya sederhana saja, tiba-tiba nama Terens Puhiri menjadi terkenal di seluruh dunia.

Ia gara-gara aksi pantas terlampaunya mengawal bola dan membuat jaringan untuk kelabnya, Borneo FC Samarinda pada 23 Okt lalu.

Terens kemudian disamakan seperti pelari pecut nombor satu dunia, Usain Bolt. Selain itu dia juga dianggap sebagai pemain bola sepak terpantas yang ada di atas Bumi ketika ini.

Di luar padang Terens rupa-rupanya lelaki cukup sederhana. Impiannya ketika ini cuma mahu menyediakan sebuah rumah untuk ibu dan dua adik-beradiknya.

Orang tua Terens dilaporkan berpisah ketika dia masih kecil.

Terens memang dikenali sebagai pemuda yang gigih dan bersungguh-sungguh melaksanakan kerja sama ada di dalam atau luar padang.

"Kalau saya ada rezeki - misalnya Rp1 bilion (RM311,900) saya mahu membina rumah buat mama di Jayapura, Papua," katanya kepada portal bolasport.com.

 

 

Buat masa ini kata Terens ibu dan dua adik-beradiknya masih menumpang di rumah orang.

Anak kedua daripada tiga beradik itu juga kini menjadi penyumbang utama kewangan mereka sekeluarga.

Kakak Terens sebelum ini pernah bekerja sebagai pembantu pam di stesen minyak tetapi sudah berhenti.

"Sekarang dia masih mencari kerja," katanya.

Kelab Terens kini berada di tempat kelapan Liga 1 Indonesia manakala pendahulu ialah Bali United yang mengumpul 62 mata daripada 32 perlawanan.

Kedua-dua kelab itu dijarakkan oleh 16 mata dengan Borneo FC baru bermain 31 perlawanan.