Peminat JDT berkampung di stadium Larkin
PIALA MALAYSIA | Demi pasukan JDT, peminat tegar pasukan itu sanggup ‘berkampung’ di pekarangan Stadium Tan Sri Hassan Yunos malam tadi bagi memastikan mereka menjadi antara orang yang terawal membeli tiket perlawanan final Piala Malaysia secara kaunter, hari ini.
Mereka yang datang beramai-ramai termasuk bersama anggota keluarga turut membawa peralatan seperti khemah dan tikar bagi membolehkan mereka berteduh dan berbaring di pekarangan stadium itu.
Seorang daripada mereka Asmahwati Mohd Dom, 43, berkata dia bersama suami serta anak dan adiknya tiba di stadium itu pada 8.30 malam tadi.
Katanya mereka adalah peminat tegar Harimau Selatan dan tidak pernah terlepas peluang menyaksikan perlawanan penting membabitkan pasukan kesayangan mereka di luar kawasan.
“Saya cuba beli tiket secara dalam talian petang tadi tapi tidak berjaya kerana sistem laman web JDT terganggu,” katanya kepada Bernama.

Susulan itu, Asmahwati berkata suaminya mencadangkan agar mereka datang berkampung di stadium berkenaan untuk memastikan mereka dapat membeli tiket tersebut sebaik kaunter dibuka hari ini.
Bagi Arif Abdul Aziz, 26, dia dan enam rakannya berada di stadium itu sejak jam 7 malam tadi tanpa sebarang persediaan untuk bermalam dengan harapan cuaca akan menyebelahi mereka.
“Kalau hujan terpaksa kami mencari tempat yang sesuai di stadium untuk dijadikan tempat tidur kerana kami tidak membawa khemah ataupun selimut.
"Cuma ada makanan saja,” katanya yang langsung tidak kisah berkampung tanpa sebarang persediaan. Ini kali ketiga kami buat begini.
"Ia merupakan pengalaman yang menyeronokkan, lebih-lebih lagi kami semua datang dari kampung yang sama dan bersekolah di sekolah sama iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Lalang, Kluang dahulu,” katanya.
Berbeza bagi Norashazmieza Ayub, 15, dia dan ayahnya serta dua lagi rakan berasal dari Kulai namun sanggup bertandang ke stadium untuk membeli lapan tiket, hari ini.
“Kebetulan esok adalah hari pelepasan di sekolah, jadi saya manfaatkannya untuk ikut ayah,” katanya.
Perlawanan akhir Piala Malaysia antara JDT dan Kedah akan berlangsung di Stadium Shah Alam, Selangor pada Sabtu ini.
Sebanyak 72,000 tiket diperuntukkan dengan setiap pasukan menerima 30,000 tiket dewasa dan 750 kanak-kanak manakala baki 10,000 tiket dewasa serta 500 tiket kanak-kanak dijual menerusi dalam talian.
Tiket bagi dewasa berharga RM50 manakala kanak-kanak RM5 termasuk cukai dan perlindungan insurans.
- Bernama

