Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Tiket Piala Malaysia: 'Ribut' di utara tenang di selatan
Diterbitkan:  Nov 1, 2017 5:38 PM
Dikemaskini: 9:52 AM

Tiket habis selepas sejam dan ramai yang kecewa. Justeru beratus-ratus penyokong skuad Kedah menyerbu depan pejabat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) di Alor Setar.

Bagi mereka ada yang meragukan dalam penjualan serta pengagihan tiket bagi perlawanan akhir Piala Malaysia pada Sabtu ini.

Kedah - turun sebagai juara bertahan dan pemenang Piala FA - bakal berdepan juara Liga Super musim ini, JDT, di Stadium Shah Alam.

Insiden itu turut menarik perhatian bekas menteri besar Kedah dan presiden KFA, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

"Umno Kedah (bedal) tiket #pialamalaysia2017 kepada penyokong depa saja. Yang tak sokong & tak hirau politik - terlepas. Tak adil! @hijaukuning," katanya melalui Twitter.

Bagaimanapun kesahihan dakwaan Mukhriz itu tidak dapat dipastikan secara bebas oleh Malaysiakini.

Mukhriz kini menjadi timbalan presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

 

 

Bernama pula melaporkan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Tiket dan Pintu Masuk KFA, Shaharol Niza Omar, memberitahu sebanyak 30,000 tiket diperuntukkan kepada negeri itu untuk perlawanan akhir nanti.

Daripada jumlah itu katanya 18,000 diberi kepada 400 bas, manakala lebih 3,000 tiket lagi kepada kelab gabungan, pasukan, exco KFA dan penaja.

“Hampir 10,000 tiket yang disediakan di empat kaunter habis terjual dalam tempoh 45 minit,” katanya.

Sementara itu keadaan dilaporkan berbeza di selatan.

Proses penjualan tiket didakwa berlangsung dengan lancar dan teratur di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin Johor.

Presiden Persatuan Bola Sepak Johor Datuk Ismail Karim, berkata tiada insiden tidak diingini berlaku hari ini.

"Selain daripada sikap para penyokong JDT yang profesional, ia juga disebabkan titah Tunku Mahkota Johor yang mahu pengagihan tiket dibuat secara telus tanpa penglibatan orang politik, serta tiada keistimewaan khas diberikan kepada mana-mana individu, badan-badan berkanun kerajaan," katanya.

Lihat Komen
ADS