‘Anjingkan’ Brunei, Singapura - FAM didenda RM127,000
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini didenda AS$42,500 (RM180,000) oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) berhubung beberapa kesalahan penyokong sepanjang temasya Sukan SEA yang berlangsung pada 19-30 Ogos lalu.
Bagi kesalahan penyokong negara ‘menganjingkan’ Brunei dan Singapura pada Sukan SEA, Ogos lalu di Kuala Lumpur, FAM didenda AS$30,000 (RM127,000).
Badan induk itu dalam satu kenyataan berkata, tindakan sekumpulan penyokong tuan rumah dalam saingan kumpulan A, Sukan SEA Ke-29 di Stadium Shah Alam melanggar Artikel 58.1 (Diskriminasi), dibaca dengan Artikel 65.1 (Tingkah Laku Penonton) Kod Disiplin dan Etika AFC.
“FAM didenda AS$15,000 (RM63,500) kerana sekumpulan penyokong tuan rumah menyanyikan ‘Kami turun ke Shah Alam, satu jiwa sokong Malaysia, Brunei anjing dibunuh saja’ ketika Malaysia menentang Brunei pada 14 Ogos lalu.

“FAM juga didenda AS$15,000 (RM63,500) kerana sekumpulan penyokong tuan rumah menyanyikan ‘Kami turun ke Shah Alam, satu jiwa sokong Malaysia, Singapura anjing dibunuh saja’ dan ‘Singapura itu anjing, Singapura itu anjing, Singapura itu anjing’.
“Mereka membuat kesalahan itu sewaktu Malaysia menentang Singapura pada 16 Ogos lalu,” kata AFC selepas Jawatankuasa Disiplin dan Etika mereka bermesyuarat pada Jumaat lalu.
AFC juga mengenakan hukuman tambahan ke atas FAM atas kesalahan penyokong luar yang membaling 50 hingga 60 botol minuman ke padang ketika aksi Kumpulan B membabitkan Indonesia dan Kemboja pada 24 Ogos.
Untuk kejadian itu, FAM didenda AS$5,000 (RM21,167).
FAM selaku tuan rumah didakwa melanggar Artikel 64.1 (Penganjur Perlawanan) Kod Disiplin dan Etika AFC.
Selain itu, FAM juga didenda susulan tindakan penyokong membakar mercun ketika perlawanan separuh akhir Malaysia menentang Indonesia pada 26 Ogos lalu.
Mereka dikenakan denda AS$7,500 (RM31,751) kerana melanggar Artikel 65.1 dan Artikel 64.1 Kod Disiplin dan Etika AFC.
Semua denda perlu dijelaskan dalam tempoh 30 hari bermula hari ini.

