Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
TMJ kecewa layanan Kedah pada penyokong sendiri
Diterbitkan:  Nov 2, 2017 3:10 PM
Dikemaskini: 7:12 AM

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tunku Ismail Sultan Ibrahim amat kecewa dengan layanan Persatuan Bola Sepak Kedah terhadap penyokong setia pasukan Hijau Kuning.

“Saya amat kecewa dengan sikap dan layanan yang telah diberikan oleh Persatuan Bola Sepak Kedah kepada penyokong-penyokong setia mereka.

“Penyokong yang beratur dan datang memberi sokongan setiap kali perlawanan di Stadium Darul Aman sebelum ini tidak dapat tiket untuk menyaksikan perlawanan akhir Sabtu ini.

“Tetapi individu yang tiada kena mengena dengan bola sepak sebaliknya yang dapat tiket melalui saluran tertentu,” titah baginda di Facebook rasmi pasukan JDT Johor Souther Tigerss.

Kenyataan itu dikeluarkan ketika kecoh kemarahan penyokong Kedah apabila gagal mendapatkan tiket perlawanan akhir antara Piala Malaysia Sabtu ini antara pasukan mereka dan JDT.

Bekas menteri besar dan presiden KFA Datuk Mukhriz Mahathir turut mendakwa jualan tiket itu tidak telus dan menyalahkan Pemuda Umno negeri yang didakwa membolot banyak tiket.

KFA hari ini bagaimanapun mempertahankan penjualan tiket dijalankan secara telus.

Timbalan presidennya Datuk Paduka Syed Unan Syed Abdullah daripada 34,000 keping tiket diperuntukkan kepada Kedah, 30,000 tiket dijual secara luar talian manakala baki 4,000 tiket lagi dijual secara dalam talian.

Katanya, sebanyak 17,600 tiket diberikan kepada 400 pemegang permit bas, 1,800 tiket untuk 36 buah badan gabungan KFA, 1,200 tiket kepada pemain dan pegawai KFA, 700 tiket kepada ahli badan eksekutif KFA, 500 tiket kepada penaja dan 200 tiket secara keseluruhan kepada kakitangan KFA.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan 22,000 tiket diperuntukkan kepada 400 pemegang permit bas dan kuota KFA dan baki 8,000 tiket dijual di empat kaunter penjualan.

Jemputan khas Johor hanya 600 tiket

Mengulas itu itu, TMJ berkata beliau dimaklumkan hingga 6,000 keping tiket telah ditempah oleh “orang-orang tertentu” dalam KFA.

“Saya amat kecewa dengan layanan Kedah FA terhadap penyokong mereka, dan saya harap individu seperti ini tidak perlu berada di persatuan bola sepak.

“Lebih baik berundur sahaja dan bagi orang-orang yang layak yang mengutamakan penyokong dan dapat menjaga persatuan tersebut dengan tulus,” titah baginda.

Di Johor, Tunku Ismail juga mendedahkan telah menolak permohonan menteri besar negeri untuk memohon 1,000 keping tiket.

“Saya hanya memberikan setakat 600 tiket sahaja untuk para jemputan khas,” titah baginda lagi.

Baginda juga bertitah dimaklumkan terdapat individu-individu dalam parti politik yang bergaduh dan bersabotaj antara satu sama lain berkenaan penjualan tiket perlawanan akhir itu.

“Siasatan sedang dilakukan mengenai perkara ini. Sekiranya tidak berlaku Alhamdulillah, tetapi jika didapati ia benar, bersedialah berjumpa dengan saya. Kepada individu-individu tersebut baik keluar dari negeri Johor.

“Di Johor tiada tempat orang-orang korupsi seperti ini. Bola sepak adalah hak milik rakyat dan bukannya untuk dipolitikkan,” titah baginda yang juga bekas pemilik JDT.

Lihat Komen
ADS