Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Piala M'sia: Pemuda Umno Kedah sedia 80 skrin gergasi

Pemuda UMNO Kedah melalui program 'Bangkit Bersama Kedah Juara' akan menyediakan tayangan skrin gergasi di 80 lokasi di seluruh negeri bersempena perlawanan akhir Piala Malaysia Kedah menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) Sabtu ini.

Ketua Pemuda UMNO Kedah Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata insiatif itu antara lain bagi memberi peluang kepada penyokong Helang Merah yang tidak dapat berkunjung ke Stadium Shah Alam, Selangor, untuk menonton perlawanan tersebut dalam semangat muhibah dan kebersamaan.

"Skrin gergasi tersebut akan diletakkan di lokasi terpilih di setiap parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah dan orang ramai boleh mula berkumpul pada 8.30 malam," katanya dalam sidang akhbar di sebuah hotel di Alor Setar hari ini.

Antara lokasi terlibat ialah di Kampung Kodiang Lama, Kg Kuala Tunjang dan pekan Ayer Hitam bagi parlimen Jerlun; perkarangan restoran Tart Nasi Ayam dan Jalan Starwalk hadapan MBAS, di Alor Setar; serta perkarangan pejabat UMNO Jerai dan Simpang Tiga, Sungai Limau bagi parlimen Jerai.

Bagi parlimen Kuala Kedah, antara lokasi yang terlibat ialah di Dewan Bakar Kapak dan Taman Kota Nelayan selain pekan Tunjang bagi parlimen Kubang Pasu.

"Orang ramai boleh menyemak dengan Pemuda UMNO bahagian masing-masing bagi mengetahui kesemua lokasi utama skrin gergasi ini," katanya dan menganggarkan kira-kira 40,000 penyokong akan memeriahkan program itu.

Beliau berkata pelbagai aktiviti sampingan sepanjang perlawanan turut disediakan bagi memeriahkan lagi suasana seperti cabutan bertuah dan kuiz.

- Bernama

Lihat Komen
ADS