Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan

Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) memohon maaf kepada penyokong Hijau Kuning yang gagal mendapatkan tiket bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia antara pasukan Kedah dan JDT yang berlangsung di Stadium Shah Alam, Selangor pada Sabtu ini.

Naib Presiden KFA, Datuk Badrol Hisham Hashim mengakui, kejadian itu tidak dapat dielakkan berikutan jumlah tiket yang ditetapkan kepada Kedah tidak mencukupi untuk menampung jumlah penyokong yang terlalu ramai.

“Setiap pasukan hanya memperoleh 34,000 tiket dan 400 diberikan kepada pemegang permit bas dan terhad, saya percaya kalau kita jual 70,000 tiket sekalipun ia tetap akan habis dengan cepat, " katanya kepada pemberita pada Majlis Konvokesyen Kanak-Kanak Permata Kemas Zon A , di Alor Setar hari ini.

Beliau bagaimanapun berharap para peminat terus menyokong pasukan kesayangan mereka supaya Kedah dapat mengekalkan kejuaraan piala berprestij itu walaupun ada yang tidak dapat ke Stadium Shah Alam pada Sabtu ini.

Badrol Hisham berkata demikian ketika diminta mengulas penjualan tiket yang tidak mencukupi dan habis dijual di kaunter-kaunter tiket di Stadium Darul Aman, di sini hingga menimbulkan kemarahan kepada peminat pagi semalam.

Semalam, ratusan penyokong Kedah turut berkumpul di hadapan pejabat KFA di Stadium Darul Aman bagi menyatakan kekecewaan mereka selain mendakwa persatuan itu menyimpan sebahagian tiket berkenaan untuk individu tertentu.

Bagaimanapun, KFA hari ini menjelaskan bahawa penjualan tiket perlawanan akhir Piala Malaysia itu dijalankan secara telus melibatkan 34,000 keping tiket diperuntukkan kepada Kedah yang 30,000 dijual secara luar talian manakala 4,000 tiket lagi dijual secara dalam talian.

Daripada jumlah itu, sebanyak 17,600 tiket diberikan kepada 400 pemegang permit bas, 1,800 tiket untuk 36 buah badan gabungan KFA, 1,200 tiket kepada pemain dan pegawai KFA, 700 tiket kepada Ahli Badan Eksekutif KFA, 500 tiket kepada penaja dan 200 tiket secara keseluruhan kepada kakitangan KFA.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan 22,000 tiket telah diperuntukkan kepada 400 pemegang permit bas dan kuota KFA manakala baki 8,000 tiket telah dijual di empat kaunter penjualan yang melibatkan lapan laluan yang dibuka pada 9 pagi, semalam.

-Bernama

Lihat Komen
ADS